fbpx

Pesisir pantai di Batu Ferringhi hilang seri akibat hakisan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Subbarow menunjukkan beg-beg pasir di sepanjang pesisir pantai awam berhampiran sebuah hotel terkenal di Batu Ferringhi.

GEORGE TOWN – Kawasan di sepanjang pesisir pantai awam berhampiran sebuah hotel terkenal di Batu Ferringhi di sini semakin hilang seri akibat hakisan pantai yang berlaku di situ sejak tahun lalu.

Tambah memburukkan lagi keadaan apabila beg-beg pasir yang ditempatkan di kawasan pantai sebagai penahan ombak oleh kerajaan negeri Pulau Pinang sejak sebulan lalu telah runtuh baru-baru ini akibat dibadai ombak kuat.

Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), N.V. Subbarow berkata, puluhan beg pasir yang diletakkan di situ telah memburukkan keadaan di kawasan pantai itu yang sebelum ini menjadi tarikan pelancong.

“Masalah hakisan pantai di kawasan ini telah lama berlaku dan kerajaan negeri telah meletakkan beg-beg pasir di sepanjang pesisir pantai ini sejak bulan lalu.

“Namun, beg pasir ini telah runtuh baru-baru ini, jadi kita berpendapat bahawa projek ini amat merugikan duit rakyat kerana beg pasir tidak dapat menjadi penahan ombak dalam tempoh yang lama,” katanya ketika ditemui di pantai Batu Ferringhi di sini hari ini.

Menurut Subbarow, beg pasir itu juga menjadikan pantai tersebut tidak lagi landai seperti sebelum ini dan pihaknya menerima banyak aduan daripada penduduk tempatan serta pelancong mengenai keadaan pantai itu.

“Kita sangat bimbang apabila beg pasir ini telah runtuh kerana nampaknya ia tidak kukuh untuk menahan ombak.

“Bayangkan sekiranya orang ramai atau kanak-kanak berada di atas beg-beg pasir ini dan kemudiannya ia runtuh sudah pasti ia akan membahayakan orang ramai,” katanya.

Tambah Subbarow, pihaknya meminta kerajaan negeri untuk menilai semula projek berkenaan agar ia tidak membazir wang dan kawasan pantai Batu Ferringhi yang diancam hakisan ombak dapat diselamatkan.

Dalam pada itu, seorang operator sukan air di pantai berkenaan, Anuar Abd. Aziz, 50-an, berkata, timbunan beg pasir di kawasan berkenaan telah menyebabkan pantai itu tidak lagi popular dalam kalangan pelancong.

“Sebaik sahaja pelancong melihat keadaan pantai ini ramai dalam kalangan mereka yang tidak mahu bersantai di sini kerana pantainya yang tidak lagi landai.

“Beg-beg pasir yang diletakkan di sini juga tidak membantu menghalang hakisan, malah ia memburukkan pandangan di sini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan segera membaiki runtuhan beg-beg pasir di pesisir pantai berkenaan memandangkan dijangka ombak besar akan berlaku minggu depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI