fbpx

Noryn Aziz selamat bergelar isteri ahli perniagaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noryn berkongsi gambar memakai busana perkahwinan.

KUALA LUMPUR – Penyanyi Noryn Aziz selamat mendirikan rumah tangga dengan seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Shaik Rizal Shaik Sulaiman pada malam Selasa lalu.

Majlis pernikahan mereka diadakan secara sederhana dan tertutup di kediaman suaminya di Damansara, Petaling Jaya, Selangor dalam suasana norma baharu serta mengikut pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Ujar Noryn atau nama sebenarnya Norazmahwati Abd. Aziz, 44, majlis pernikahannya bersama Rizal sepatutnya berlangsung pada 25 Oktober ini, namun terpaksa dipercepatkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.

“Kurang 24 jam saya dan Rizal buat keputusan untuk bernikah. Segala persiapan dilakukan dengan sepantas yang mungkin.

“Kami bersyukur kerana semuanya diatur dengan mudah. Saya percaya semua ini kerana kebesaran Allah,” ujarnya dalam satu kenyataan media.

Juara program Gegar Vaganza musim kelima (GV5) itu menerima sebentuk cincin sebagai mas kahwin daripada suaminya yang berusia 48 tahun.Pada masa sama, pelantun lagu Fantasia O Realiti itu juga mendedahkan dia berkenalan dengan suaminya pada awal tahun ini bermula sebagai rakan perniagaan.

“Semuanya berlaku sekelip mata. Baik saya mahupun Rizal, masing-masing tidak terfikir untuk jadi kekasih. Hubungan kami benar-benar profesional.

“Sehinggalah lama-kelamaan saya dapat rasakan kehadiran dia sangat menyenangkan. Keperibadiannya memikat saya. Rizal seorang yang positif dan banyak memberi sokongan moral kepada saya dalam urusan bisnes,” ujarnya lagi.

Selepas beberapa bulan hubungan mereka menjadi akrab dan banyak bercerita perihal masa depan, Noryn dan Rizal memutuskan untuk mengakhiri persahabatan menjadi ikatan suci.

“Pada usia begini, tiada apa lagi yang diharapkan selain majlis pernikahan dirahmati Allah S.W.T dan rumah tangga kami berkekalan sehingga ke akhir hayat.

“Allah telah mengatur yang terbaik buat saya dan Rizal. Ada masanya kita merancang untuk lakukan perkara yang besar, namun tidak akan berlaku kalau Allah tidak mengizinkan,” katanya.

Sebelum ini, Noryn pernah mendirikan rumah tangga dengan bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad pada 22 Januari 2010, namun berpisah pada tahun lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI