KUALA TERENGGANU – Keriangan sebuah keluarga mandi laut berakhir tragedi apabila seorang ahli keluarga mereka iaitu kanak-kanak berusia empat tahun maut akibat lemas di Pantai Chendering di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 5.49 petang itu, mangsa, Aqhar Raif Muhamad Rafie yang lemas sempat diselamatkan pengunjung lain sebelum dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan sebaik tiba di unit kecemasan hospital itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar, berkata, sewaktu kanak-kanak itu diselamatkan orang awam, sepasukan bomba yang baru dimaklumkan kejadian lemas tersebut dalam perjalanan ke pantai terbabit.
“Ini kejadian lemas ketiga dengan dua daripadanya melibatkan aktiviti riadah pantai di Terengganu sepanjang musim tengkujuh ini.
“Sekali lagi kami menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan sebarang aktiviti air di pantai, sungai dan air terjun di negeri ini sepanjang tempoh monsun Timur Laut yang hanya akan berakhir Mac tahun depan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Rozizah berkata, sikap sambil lewa segelintir masyarakat amat dikesali kerana mengundang risiko kehilangan nyawa walaupun sudah banyak kali diingatkan pihak berkuasa. – KOSMO! ONLINE