SHAH ALAM – Kerajaan negeri akan memfokuskan menaik taraf dan mendirikan tandas baharu di beberapa kawasan pelancongan di Selangor, pada tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian berkata, pihaknya mengakui bahawa kualiti tandas yang kotor memberikan masalah dalam jangka panjang sektor pelancongan di negeri ini.
“Faktor kebersihan amat penting dan kalau kotor, pelancong datang sekali sahaja serta tidak mahu datang (di sesuatu lokaliti) itu lagi.
“Sebab itu untuk tahun depan, kita fokus naik taraf dan dirikan tandas yang bersih untuk pelancong. Kita sedang kenal pasti beberapa pusat pelancongan.
“Kita akan buat tandas yang canggih dan bersih sebagai tarikan untuk pelancong datang,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Zakaria Hanafi (BN-Semenyih) sama ada kerajaan negeri bersetuju memfokuskan kepada aspek kebersihan termasuk penguatkuasaan denda lebih menyeluruh.
Ketika mengulas soalan tambahan Juwairiya Zulkifli (PH-Bukit Melawati) mengenai jeti yang tidak berdaftar bagi pelancongan ke Sky Mirror, Loy Sian yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang menegaskan satu mesyuarat akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi
membincangkan perkara itu.
“Buat masa ini, banyak jeti didirikan tiada permit dengan perkara itu dikeluarkan Lembaga Urus Air Selangor.
“Kita akan buat prosedur operasi standard (SOP) dari segi pembinaan jeti agar tidak uzur dan rosak seterusnya menjamin keselamatan pelancong,” ujarnya
Beliau menjelaskan kerajaan negeri menerusi Tourism Selangor telah memperuntukkan geran pembangunan bagi sektor pelancongan sebanyak RM5.2juta pada belanjawan 2022.
“Kita juga akan memperkuatkan kempen ‘Pusing Selangor Dulu’ untuk pelancong dalam negara selain melobi pakej-pakej pelancongan kepada agensi pelancongan negara Asean, Jepun, Korea Selatan, China dan Taiwan yang merupakan kumpulan pelancong berpotensi untuk berbelanja lebih besar,” katanya. -KOSMO! ONLINE