PETALING JAYA – Tidak menunggu lama untuk mengambil tindakan, pelakon Afiq Muiz membuat laporan di Balai Polis Dengkil hari ini bagi membersihkan nama selepas mendakwa difitnah bekas isterinya, Pachara Apin.
Kata pemilik nama sebenar Muhammad Afiq Muiz, 30, buat masa ini dia menyerahkan kepada peguamnya untuk tindakan susulan berhubung tuduhan kaki pukul yang dilemparkan wanita itu.
“Laporan polis sudah dibuat, tunggu tindakan seterusnya daripada peguam kami atas fitnah yang telah dilemparkan,” tulisnya ringkas dalam Instagram.
Menerusi hantaran berkenaan, pelakon Hati Yang Dikhianati itu turut memaparkan gambarnya di depan balai polis sambil memegang dokumen berupa laporan yang dibuat.
Sebelum ini, Pachara yang berasal dari Ranau, Sabah memuat naik kenyataan dalam Facebook dan TikTok mendakwa Afiq pernah mengasarinya sehingga membuatkan kaki serta jarinya patah.
Kenyataan tersebut meraih komen balas adik Afiq, pelakon Aishah Azman yang bengang dengan tindakan Pachara membuat kenyataan palsu dalam media sosial.
Terdahulu, kontroversi tercetus rentetan pesanan Afiq kepada pendakwah selebriti, Dai Syed yang baru-baru ini bertunang agar jangan menjadikan wanita sebagai ‘permainan’.
Berita tersebut kemudian dikongsikan dalam Facebook seorang individu berserta kapsyen yang mendakwa pelakon itu memukul bekas isterinya.
Selepas itu, Pachara pula mengulang siar hantaran tersebut dalam Facebook dan TikTok miliknya seolah-olah mengesahkan dakwaan berkenaan.
Menerusi tinjauan, akaun TikTok milik Pachara telah diubah kepada mod privasi selepas Aishah tampil membuat kenyataan balas.
Terdahulu, Afiq mendirikan rumah tangga dengan Pachara pada 27 Mac 2019 selepas setahun berkenalan di set penggambaran drama Air Mata Syurga.
Begitupun, masing-masing hingga sekarang belum mendedahkan tarikh perceraian mereka. – KOSMO! ONLINE