KUALA TERENGGANU – Kumpulan TDM Berhad (TDM), anak syarikat kerajaan negeri Terengganu, merekodkan pendapatan sebanyak RM153.3 juta bagi suku ketiga tahun ini tumbuh 16 peratus berbanding RM132.1 juta tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Pengarah Eksekutifnya, Najman Kamarudin berkata, peningkatan itu disumbangkan oleh sektor penjagaan kesihatan yang mencatat kenaikan pendapatan 38 peratus kepada RM78.1 juta berbanding RM56.4 juta bagi suku sama tahun sebelumnya.
“Sektor perladangan pula tidak banyak berubah iaitu RM75.1 juta berbanding RM75.7 juta dalam tempoh sama tahun lalu,” katanya di sini semalam.
Selain itu, Najman menerangkan, peningkatan pendapatan dalam sektor penjagaan kesihatan didorong pertambahan bilangan pesakit luar dan dalam wad masing-masing 13 peratus dan 65 peratus.
Jelasnya. perkhidmatan penjagaan kesihatan yang telah diperluas seperti Pusat Mata, Pusat Perubatan KMI Kuantan menunjukkan prestasi baik serta menyumbang kepada keputusan kewangan secara keseluruhan.
“Bagi mengurangkan impak inflasi, TDM Berhad akan terus menumpukan kepada kecekapan operasi dan meminimumkan kos kepada pesakit.
“Selain itu, kami juga menghadapi cabaran dalam sektor perladangan apabila berhadapan dengan harga minyat sawit mentah (CPO) dan pengeluaran yang lebih rendah,” katanya.
Najman berkata, TDM mencatat penurunan jualan CPO serta kadar pengekstrakan minyak (OER) susulan pengeluaran buah tandan segar kelapa sawit yang lebih rendah dalam tempoh suku ketiga tahun ini.
Tambah beliau, cabaran operasi masih kekal menjadi kebimbangan apabila bilangan pekerja asing ke Malaysia masih perlahan dengan musim puncak buah tandan segar kelapa sawit hampir berakhir.
“Begitupun, harga minyak sawit mula menunjukkan tanda-tanda akan stabil berikutan peningkatan penggunaan global, rekod eksport, penurunan stok di Indonesia dan kekurangan tenaga buruh,” katanya. -KOSMO! ONLINE