ROM – Seorang lelaki di Itali didakwa atas tuduhan pemalsuan dan pelanggaran cap dagangan selepas mengubah suai sebuah kereta Toyota MR Coupe miliknya menjadi Ferrari F430 berwarna merah, lapor laman berita Oddity Central semalam.
Agensi penguatkuasaan undang-undang, Guardia membuat rampasan luar biasa itu semasa melakukan pemeriksaan rutin di bandar Asti.
Walaupun kereta itu menampilkan semua elemen unik Ferrari F430 termasuk logo kuda pada bonet dan stereng, rim, brek serta lampu depan, sesuatu tentang kenderaan itu kelihatan tidak kena.
Tidak dijelaskan sama ada pemandu berusia 26 tahun itu mempunyai dokumen yang diperlukan untuk membuktikan bahawa keretanya adalah Ferrari F430 tulen atau tidak, tetapi pegawai polis memanggil pasukan pakar untuk mendapatkan kepastian.
Mereka mengesahkan bahawa kereta itu sebenarnya adalah Toyota MR Coupe yang telah diubah suai. Kes itu dianggap unik kerana tahap pemalsuannya yang tinggi.
Menurut pakar yang mengesahkan pemalsuan itu, kereta tersebut juga menampilkan alat ganti dan aksesori Ferrari asli, menjadikannya lebih sukar untuk menyedari bahawa ia sebenarnya adalah Toyota.
Media berita Itali melaporkan bahawa kereta itu telah disita dan pemiliknya dilaporkan kepada Pejabat Pendakwa Raya Asti kerana menggunakan cap dagangan berdaftar tanpa kebenaran. – Agensi