ALOR SETAR – Seorang warga emas tidak menyangka bunyi dentuman kuat seperti guruh yang didengarnya petanda dia kehilangan cucu lelaki akibat dihempap tiang elektrik di Kampung Belukar, Changlun, dekat sini kelmarin.
Dalam kejadian itu, Muhammad Aqil Wafiq Ruslizan, 10, meninggal dunia, manakala dua rakannya cedera parah pada bahagian kaki dan badan.
Menurut Zaiton Abu, 64, bunyi itu didengarnya pada pukul 5 petang ketika dia berada di dalam rumah yang terletak kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian.
“Saya terkejut bila dengar bunyi dentuman seperti guruh sebelum terdengar jeritan budak-budak dan terus ke lokasi kejadian.
“Rasa nak pengsan apabila tengok cucu di celah-celah tiang elektrik tersebut. Hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu,” katanya semalam.
Ibu mangsa, Sharifah A. Rahim, 35, berkata, dia kehilangan kakak Muhammad Aqil ketika anaknya itu berusia empat minggu dan suaminya baru sahaja pulih daripada koma selepas terbabit kemalangan.
“Sekarang anak saya pula sudah tiada. Saya pernah melahirkan kebimbangan kerana sudah lama tiang elektrik itu tersadai di kawasan tersebut. Akhirnya kejadian ini jadi kepada anak saya. Siapa yang tak sedih,” dakwanya.
Menurut Sharifah, anak kedua daripada tiga beradik itu keluar dari rumah mereka selepas pulang sekolah pada pukul 2 petang kelmarin untuk bermain dengan kawan-kawannya.
“Saya selalu nasihat jangan bermain di kawasan itu bahaya dan dia memang tak pernah bermain di situ pun sehingga semalam.
“Saya rasa nak pengsan tengok mayat dia, bayangkan dihempap tiang elektrik,” ujarnya.
Cerita lanjut, wanita itu memberitahu, arwah sebelum ini berkongsi satu video mengenai maksud nama-nama dalam Islam kepadanya baru-baru ini.
“Dia beritahu tentang maksud nama dia, bijak dan terpelajar. Dia nak mengaji (belajar) pandai-pandai.
“Dia juga bercakap tentang nama-nama malaikat dan bercakap tentang syurga, neraka,” katanya dalam nada sebak.
Bapa mangsa, Ruslizan Ali, 42, berkata, walaupun berat dugaan yang menimpa keluarganya itu namun mereka reda.
“Saya baru boleh berjalan selepas kemalangan semasa pandu teksi pada September lepas. Sekarang kami tinggal anak bongsu, Muhammad Azrul Taqif, 4, sahaja,” katanya.
Sementara itu, ibu saudara kepada Allahyarham Muhammad Aqil, Ronaliza Ali, 44, berkata, jengkaut terpaksa digunakan pihak berkuasa bagi mengalihkan tiang elektrik yang menghempap tubuh mangsa.
“Kira-kira 10 penduduk kampung sebelum itu cuba mengalihkan beberapa tiang konkrit itu tetapi gagal kerana terlalu berat,” katanya ketika ditemui di Kampung Belukar di sini kelmarin.