fbpx

Sebahagian kawasan dunia semakin kering

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar dirakam pada 2 September 2022 menunjukkan dua individu duduk di bahagian dasar sungai yang kering di Sungai Yangtze, Wuhan, China. - AFP

WASHINGTON – Satu laporan mendapati bahawa lebih 3.6 juta orang di seluruh dunia tidak mempunyai akses kepada bekalan air mencukupi dengan sebahagian besar kawasan kini semakin mengering, lapor agensi berita United Press International kelmarin.

Laporan dikeluarkan Organisasi Meteorologi Dunia (WMO) itu mendedahkan banyak kawasan lebih kering berbanding kebiasaan pada 2021 dengan mengambil kira faktor kejadian banjir, kemarau dan aliran sungai di seluruh dunia.  

Menurut laporan tersebut, keadaan itu berlaku disebabkan perubahan iklim dan fenomena La Nina.

“Impak perubahan iklim dapat dilihat menerusi insiden kemarau lebih kerap, banjir ekstrem dan musim hujan yang tidak menentu serta glasier yang mencair lebih pantas. Ini semua memberi kesan kepada ekonomi, ekosistem dan semua aspek kehidupan kita.

“Namun, pemahaman mengenai perubahan edaran, kuantiti dan kualiti sumber air bersih masih belum mencukupi,” kata Ketua Setiausaha WMO, Petteri Taalas.

Menurut laporan sama, kawasan Bumi dengan aliran sungai di bawah kadar purata adalah dua kali ganda lebih banyak daripada kawasan di atas purata apabila dibandingkan dengan purata 30 tahun.

Kawasan-kawasan yang semakin kering termasuk Rio de la Plata di Amerika Selatan dan lembangan sungai di negeri Colorado, Missouri serta Mississippi di Amerika Syarikat. 

Sementara itu, simpanan air yang berlaku secara semula jadi di dalam kanopi, salji, ais dan air di bawah permukaan juga berada di bawah kadar purata berbanding tempoh masa 2002 hingga 2020.

AS, bahagian tengah Amerika Selatan, Patagonia, Afrika Utara dan Madagascar, Asia Tengah dan Asia Barat, Pakistan serta India Utara adalah rantau-rantau yang memiliki kadar simpanan air yang rendah.

“Secara keseluruhan, trend negatif ini lebih kuat berbanding trend positif,” kata laporan yang sama. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI