DOHA – Lebih 400 pekerja asing maut dalam beberapa kemalangan buruh di Qatar sepanjang tempoh menjelang Piala Dunia 2022, kata seorang pegawai kanan acara itu.
Ketua Jawatankuasa Penganjur, Penghantaran dan Warisan Qatar, Hassan Al-Thawadi memberikan statistik itu menerusi satu temu bual dengan media Britain apabila ditanya mengenai jumlah buruh yang mati melibatkan kerja-kerja berkaitan Piala Dunia.
Menurutnya, respons itu merujuk kepada statistik kebangsaan yang meliputi tempoh 2014 hingga 2020 bagi semua kematian berkaitan kerja di Qatar. Ia merangkumi semua sektor dan kewarganegaraan.
Hassan berkata, angka sebenar masih sedang dibincangkan oleh jawatankuasa penganjur.
“Anggaran adalah antara 400 hingga 500 kematian. Saya tidak mempunyai angka yang tepat, ia masih dibincangkan.
“Satu kematian adalah terlalu banyak, ia semudah itu,” katanya.
Tambah Hassan, setiap tahun, piawaian kesihatan dan keselamatan ditambah baik di tapak-tapak pembinaan di negara itu.
“Sekurang-kurangnya bagi pihak kami, di tapak-tapak pembinaan berkaitan Piala Dunia. Ia dilaksanakan dengan baik sehinggakan ada kesatuan sekerja (memuji) kerja-kerja yang dilakukan di tapak Piala Dunia serta penambahbaikan tersebut,” ujarnya.
Keadaan sektor buruh di Qatar dikritik hebat terutamanya dalam projek-projek pembinaan berskala besar yang telah mengubah negara Teluk kecil tersebut dalam tempoh beberapa dekad.
Doha tidak pernah memberikan angka tepat bagi bilangan kematian melibatkan buruh asing walaupun ia telah menafikan dakwaan kumpulan-kumpulan hak asasi manusia bahawa ribuan orang meninggal dunia.
Jawatankuasa Tertinggi sebelum ini menegaskan bahawa hanya 37 orang pekerja yang terlibat dalam projek Piala Dunia maut, dengan hanya tiga adalah kemalangan berkaitan tempat kerja sejak pembinaan bermula pada 2014, lapor laman berita Wion News.
Namun, akhbar The Guardian melaporkan tahun lalu bahawa 6,500 buruh asing dari India, Pakistan, Nepal, Bangladesh dan Sri Lanka telah mati melibatkan kerja-kerja infrastruktur Piala Dunia. – AFP