DOHA – Pengendali Belanda, Louis Van Gaal menempelak dakwaan media yang menyatakan anak-anak buahnya tidak layak untuk menjuarai peringkat Kumpulan A selepas mempamerkan perlawanan yang cukup membosankan sepanjang kempen Piala Dunia kali ini.
Sebagai rekod, skuad The Oranje tidak mempunyai masalah untuk menguasai carta peringkat kumpulan susulan kemenangan ke atas tuan rumah, Qatar dengan kemenangan 2-0 hasil ledakan Cody Gakpo dan Frenkie De Jong.
Menurut Van Gaal, apa sahaja kritikan yang dilemparkan tidak memberi sebarang makna kerana fokus pasukan selepas ini adalah untuk mengharungi aksi pusingan 16 terbaik menentang Amerika Syarikat (AS) nanti.
“Saya tidak kisah jika kamu mahu komen mengenai corak permainan kami kerana perkara paling mustahak adalah kita dapat mara ke peringkat kalah mati dan semua pemain cukup positif dengan situasi ini.
“Jika anda kata kami pamerkan taktikal membosankan, itu adalah hak anda, tetapi saya pasti penyokong setia Belanda akan berbangga apabila kami dapat menamatkan saingan peringkat kumpulan selaku juara,” kata bekas pengendali Manchester United itu.
Sementara itu, Van Gaal turut memuji impak yang dipamerkan oleh dua pemain kesebelasan utama, Memphis Depay dan Marten De Roon selepas berjaya tampil cemerlang meskipun gagal mencetak nama selaku penjaring.
“Mungkin di atas kertas, semua mahu saya memuji penjaring gol (Gakpo dan De Jong), tetapi di mata saya, Depay dan De Roon adalah watak penting pasukan kali ini. Mereka sudah cergas sepenuhnya dan ia adalah berita menggembirakan buat kami,” katanya. – AGENSI