SETELAH disingkirkan daripada LOONA oleh Blockberry Creative, penyanyi Chuu akhirnya membuka mulut tentang isu tersebut.
Pelantun lagu Heart Attack itu memuat naik satu hantaran dalam InstaStory miliknya untuk menjelaskan perkara tersebut daripada pihaknya.
“Terima kasih kerana mempercayai saya. Saya bersyukur dikelilingi ramai orang yang mengambil berat dan menenangkan keadaan saya.
“Saya tidak dimaklumkan atau mengetahui tentang penyingkiran saya daripada LOONA, namun saya sedar situasi yang terjadi.
“Sejujurnya saya tidak melakukan perkara yang memalukan diri sendiri. Jadi, saya akan bercakap lebih lanjut tentang kedudukan saya dalam permasalahan ini sekiranya menemui kata putus kelak,” katanya.
Sehingga kini, peminat LOONA tidak berpuas hati dengan keputusan yang telah dibuat dan menggesa pihak agensi mengemukakan bukti kukuh Chuu menyalahgunakan kuasa serta menghina petugas syarikat.