SHAH ALAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melupuskan barangan tiruan bernilai RM2.11 juta, hari ini.
Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, pelupusan barangan kali ke-15 pada tahun ini melibatkan 16 kes yang telah selesai menjalani proses mahkamah dan mendapatkan perintah kebenaran pelupusan.
Katanya, barangan tiruan itu terdiri daripada beg tangan, dompet, telefon bimbit, pelbagai jenis pakaian dan alat ganti kenderaan.
“Berdasarkan hasil siasatan mendapati modus operandi mereka adalah menjual di bazar, pasar malam dan dalam talian.
“Kita juga telah mendakwa tiga individu berusia 30 hingga 40-an setakat ini berhubung 16 kes tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelupusan eksibit perdana KPDNHEP sempena sambutan Hari Penguatk Kuasa ke-48 hari ini.
Beliau menambah, barangan tiruan itu diperoleh dari luar negara dan dibawa masuk melalui beberapa pelabuhan di negeri ini.
Dalam perkembangan sama, Muhamad Zikril memberitahu, pihaknya telah melupuskan pelbagai barangan berjumlah RM3.29 juta membabitkan 243 kes bermula Januari hingga Oktober ini.
“Kesemua barangan itu melibatkan pelanggaran di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Hak Cipta 1987, Akta Perlindungan Pengguna 1999, Akta Cap Dagang 2011 dan Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993,” jelasnya. -K!ONLINE