CARDIFF, Wales – Satu anak patung menakutkan pasukan paranormal yang melakukan aktiviti memburu entiti kerana ia didakwa menangis dan mengalirkan air mata.
Kejadian menyeramkan itu berlaku di sebuah kelab malam di Wales, Britain baru baru ini.
Menurut portal Mirror UK semalam, penyiasat paranormal, Matt Tillet mendakwa anak patung yang dinamakan sebagai Annie ‘menangis tanpa sebab’ ketika dia memeriksa kelab malam Hideout di Wrexham, Wales.
Menurut laporan portal Daily Post, Annie dipercayai dirasuk satu roh jahat.
Tillet, 32, pula mendakwa roh itu membantu memangggil hantu atau semangat jahat lain semasa dia menjalankan siasatan paranormal.
Semasa siasatan di Hideout, dia mendakwa terdengar jeritan hantu dan bunyi seperti kanak-kanak berlari. Tillet juga menyatakan dia berpeluang komunikasi dengan roh tukang kasut berumur 170 tahun.
Anak patung Annie disimpan dalam satu kotak yang dilengkapi alat pengesan paranormal untuk cuba mencari bukti bahawa ada kehidupan selepas kematian.
“Baru-baru ini, Annie menangis tanpa sebab. Ia ada air mata asli. Saya memilikinya sejak setahun lalu dan ini kali pertama ia nangis. Sukar untuk saya jelaskan.
“Saya ada hantar (Annie) kepada pakar demonologi dan mereka percaya salah satu roh menangis kerana mereka terperangkap di dalam kotak serta tidak dapat melepaskan diri,” dakwanya.
Demonologi ialah cabang ilmu mengkaji hal-hal kesyaitanan atau kepercayaan karut berkait syaitan.
Tillet menjadi seorang penyiasat paranormal sejak lapan tahun lalu ada memberitahu bahawa terdapat dua roh jahat merasuk Annie.
Semasa di kelab malam itu, Tillet mendakwa ada berhubung dengan roh tukang kasut yang bernama Luther Jones, hidup pada tahun 1850-an.
“Sebelum tempat ini jadi kelab malam Hideout, ia sebuah kedai tukang kasut. Roh itu beritahu dia hidup di premis itu dan masih beranggapan ia bekerja di sana. – Agensi