PETALING JAYA – Demi memastikan ibu tercinta mendapat penjagaan sempurna, cef selebriti, Chef Wan atau Datuk Redzuawan Ismail sanggup membayar upah hampir RM6,000 bagi mendapatkan khidmat jururawat terlatih.
Katanya, keadaan insan kesayangannya, Noraini Abdullah yang sudah mencecah 90 tahun pada 12 Oktober lalu memerlukan penjagaan rapi selepas berhadapan masalah demensia selain faktor usia.
Chef Wan mengupah jururawat itu yang sudah pun bekerja selama empat tahun di rumah jagaan dan menjaga pesakit tenat.
“Ejen mereka mengenakan bayaran RM180 sehari dari pukul 9 pagi hingga 6 petang setiap hari iaitu sebulan lebih kurang RM5,800 lebih dengan OT (bayaran kerja lebih masa).
“Biar mereka bermesra dahulu ketika mak saya masih sihat sedikit. Apabila tiba masanya dia boleh menanganinya dengan baik.
“Buat masa ini hanya waktu siang kerana pada waktu petang ada saya dan pembantu rumah masih ada untuk mengendalikannya,” katanya menerusi perkongsian dalam Instagram.
Pada masa sama, ikon masakan terkenal itu mengakui berasa lebih tenang kerana kesihatan wanita yang berada di tempat pertama dalam hatinya dipantau pakar.
“Saya berasa selesa apabila ibu mendapat bantuan profesional untuk mandi, tukar lampin, sarapan, pastikan ubat-ubatan diberi ikut jadual dan melakukan senaman ringan serta memastikan dia tidur siang dan petang,” tulisnya.
Menurut Chef Wan lagi, tidak ternilai wang mahupun masa yang diperuntukkan berbanding kebajikan serta penjagaan kesihatan terbaik buat bonda tercinta.
Akuinya, dia sanggup memanfaatkan pendapatan untuk bondanya yang mesra disapa Che Ani kerana baginya wang boleh dicari, namun seorang ibu adalah satu-satunya perkara paling bermakna dalam hidup.
“Banyak beza antara pembantu rumah dengan jururawat profesional yang tahu bagaimana menguruskan demensia atau kehilangan memori dan pesakit kanser.
“Bagi saya tidak mengapalah, sebab duit boleh dicari tetapi ibu adalah segala-galanya bagi saya.
“Kita semua kena selalu berikan penjagaan terbaik selagi boleh untuk membolehkan dia gembira dan selesa. Tak payah beli kasut Gucci atau beg Prada lagi.
“Sedekahkan kepada kesejahteraan ibu kita sendiri. Itu pengorbanan serta pahala kebajikan kita untuk akhirat nanti,” tulisnya.
Perkongsian chef tersohor itu mengenai perkembangan ibunya kerap meraih komen ramai yang kagum dengan perhatian penuh terhadap Che Ani, malah ramai menjadikannya sebagai anak contoh.
Malah dia turut menjaga bekas isteri, Norhayate Ayub selama lebih 30 tahun walaupun sudah berpisah termasuk menyediakan pangsapuri dan belanja sebanyak RM5,000 sebulan hingga Allahyarham menghembuskan nafas terakhir akibat komplikasi buah pinggang dan jantung dua tahun lalu.
Sementara itu, Chef Wan mendedahkan menolak beberapa tawaran program televisyen berkaitan kulinari dan travelog di luar negara yang mengambil masa panjang kerana enggan terlalu lama berjauhan dengan ibunya. – KOSMO ONLINE