fbpx

Mahkamah: Penolong jurutera JKR didakwa rasuah kerja baik pulih sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zabidi (tengah) diiringi anggota SPRM tiba atas pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini. FOTO: FARIZ RUSADIO

SHAH ALAM – Seorang penolong jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas tuduhan rasuah RM10,000 berkaitan kerja membaik pulih sebuah sekolah menengah, Mei lalu.

Tertuduh, Zabidi Zahari, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa menerima suapan berjumlah RM10,000 daripada seorang individu sebagai dorongan memperakui siap kerja bagi pembaikan dan baik pulih Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cheras Perdana bernilai RM354,051.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah restoran di Kampung Teras Jernang, Bandar Baru Bangi, Bangi pada 17 Mei lalu.

Pendakwaan terhadap tertuduh dilakukan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muaz Ahmad Khairuddin menawarkan ikat jamin berjumlah RM10,000 selain tertuduh melaporkan diri setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam Mohd. Baharudin Ahmad Kassim yang mewakili Zabidi bagaimanapun memohon pengurangan berikutan anak menanggung isteri dan tiga anak yang masih kecil serta ibunya.

Rozilah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri kepada pejabat SPRM Putrajaya setiap bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 4 Januari depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI