PETALING JAYA – Khabar perceraian pelakon Afiq Muiz dengan aktres Pachara Apin yang didakwa berpunca akibat keganasan rumah tangga kini memasuki episod baharu apabila adiknya, Aishah Azman pula membuka mulut.
Kata Aishah yang juga pelakon, Pachara atau Nur Aaira Mahdeya sengaja memanipulasi cerita dengan mendakwa abangnya seorang kaki pukul, sedangkan sebaliknya berlaku.
“Siapa kena pukul? Awak atau abang saya? Suka cederakan diri sendiri dan memanipulasi mengatakan abang saya pukul awak.
“Jangan macam itu, saya tahu dari A hingga Z apa yang awak sudah buat dengan abang saya. Allah Maha Besar,” tulisnya menerusi hantaran InstaStory.
Luahan pelakon Bagaikan Kelip Kelip itu sekali gus menangkis tuduhan dilemparkan Pachara menerusi laman sosial peribadinya yang sudah pun dipadam.
Aishah atau Nor Aishah Afika Azman Shah, 26, turut menegaskan bahawa wanita berasal Ranau, Sabah itu membuat kenyataan palsu semata-mata mahu memalukan keluarganya.
“Jangan dengar sebelah pihak, saya tahu apa awak buat, duduk serumah dengan suami orang walaupun berstatus isteri kepada abang saya.
“Tapi manipulasi cerita yang awak sudah bercerai dengan abang saya, jangan sebarkan fitnah. Jangan cuba untuk memburukkan nama baik keluarga saya,” katanya.
Terdahulu, kontroversi tercetus rentetan pesanan Afiq atau nama sebenarnya Muhammad Afiq Muiz Azman Shah, 30, kepada pendakwah selebriti, Dai Syed yang baru-baru ini bertunang agar jangan menjadikan wanita sebagai ‘permainan’.
Berita tersebut kemudian dikongsikan dalam Facebook seorang individu berserta kapsyen yang mendakwa pelakon itu memukul bekas isterinya.
Selepas itu, Pachara pula mengulang siar hantaran tersebut dalam Facebook dan TikTok miliknya seolah-olah mengesahkan dakwaan berkenaan.
Afiq mendirikan rumah tangga dengan Pachara pada 27 Mac 2019 selepas setahun berkenalan di set penggambaran drama Air Mata Syurga setahun sebelum itu. – KOSMO! ONLINE