fbpx

Pemandu lalui detik cemas treler terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar seorang pemandu treler yang berusaha memadam kebakaran tersebut menggunakan kudratnya sendiri setelah tidak berjaya mendapatkan pertolongan daripada orang awam.

PETALING JAYA – Tindakan pantas dan berani seorang pemandu treler dalam memadam kebakaran yang kian merebak di bahagian enjin kenderaannya semalam telah mengundang perhatian ramai.

Menerusi video berdurasi 30 saat yang di muat naik oleh seorang pengguna jalan raya di TikTok, @aciksufian1472, pemandu berkenaan berdepan detik cemas apabila lori jenis treler yang dipandunya mengalami kebakaran namun berjaya dipadam olehnya berbekalkan alat pemadam api yang terdapat di lori tersebut.

“Setelah kebakaran itu terpadam, barulah muncul pemandu lain berserta pekerja lebuh raya. Sungguh menyedihkan apabila melihat dia terpaksa memadam api tersebut seorang diri,” katanya.

Menurutnya, tidak ada sesiapa yang membantu pemandu lori tersebut meskipun dia sudah berusaha untuk meminta pertolongan dengan melambai-lambai tangan kepada pemandu lain hingga pada akhirnya, dia terpaksa memadam kebakaran itu berbekalkan kudratnya sendiri.

“Maafkan saya abang lori. Saya tidak boleh bertindak sembarangan kerana terdapat pengawal lebuh raya di hadapan saya.

“Ramai yang bertindak mengecam saya dengan mengatakan mengapa saya tidak membantunya walhal mereka tidak mengetahui bahawa pada ketika itu saya juga harus mengutamakan anak saya yang berusia 11 bulan,” jelasnya menerusi kapsyen video.

Tambahnya, dia merakam video tersebut bertujuan untuk mengingatkan para isteri agar sentiasa menghargai suami yang telah berusaha mencari rezeki dengan cara yang halal kerana terdapat sesetengah daripada mereka yang lebih gemar memendam kepayahan masing-masing.

Sehubungan itu, rata-rata pengguna TikTok berasa simpati dengan pemandu lori berkenaan dan ada juga yang memuji tindakan pantasnya untuk memadam kebakaran tersebut.

“Terasa seperti hendak menangis melihat video ini. Abang itu sungguh tabah dan bertanggungjawab untuk menyelamatkan apa yang patut walaupun terpaksa bergadai nyawa sendiri,” komen seorang netizen.

“Saya tabik dengan abang kerana cepat bertindak dan sanggup berkorban demi tanggungjawab abang untuk syarikat dan keluarga. Semoga sentiasa murah rezeki dan semoga sentiasa di bawah lindunganNya,” ujar seorang pengguna lain.

“Kita melihat dia sedang diuji walhal sebenarnya Allah sedang menguji orang di sekeliling samaada mereka bertindak membantu atau sebaliknya,” tulis seorang lagi pengguna media sosial itu.

Hantaran video tular itu seterusnya berjaya meraih sebanyak 90,200 tanda suka dan 1,600,000 jumlah tontonan setakat ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI