ROMPIN – Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang sedia disiasat dan memberikan kerjasama kepada pihak polis atas sebarang dakwaan mengaitkan beliau dengan sebarang kenyataan termasuklah melibatkan tuduhan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun beliau berkata, dalam isu tuduhan Anwar sebagai ejen Israel beliau tidak pernah membuat kenyataan atau pun tuduhan sedemikian.
“Siapa kata ? Saya tak kata dia yang kata, serah dia lah.
“Bukit Aman tahu saya kata tak kata, saya ceramah pun dia rakam, kenyataan media saya pun diorang baca, saya kata tak kata terpulang,” katanya dalam sidang akhbar selepas ceramah Perikatan Nasional di Bandar Baru Rompin di sini malam semalam
Semalam media melaporkan Bukit Aman dalam satu kenyataan mengesahkan siasatan sedang dijalankan terhadap Abdul Hadi yang didakwa menuduh Perdana Menteri sebagai ejen Israel.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Saaduddin dilaporkan berkata siasatan dilakukan selepas menerima laporan polis berkenaan tuduhan itu.
Katanya, siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Jelasnya kes itu diklasifikan di bawah Seksyen 504, Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Dalam pada itu Abdul Hadi berkata, dia yang terbuka untuk disiasat tidak dihubungi atau dipanggil pihak polis setakat ini.
“Saya bukan sekali dua dipanggil Bukit Aman, tak jadi masalah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE