fbpx

Piala Dunia: England juara Kumpulan B, ‘belasah’ Wales 3-0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Marcus Rashford (dua dari kiri) meraikan jaringan yang dilakukan ketika menewaskan Wales 3-0 sebentar tadi. Foto ihsan Twitter England

DOHA – Pasukan England mengesahkan status selaku juara peringkat Kumpulan B selepas menewaskan Wales 3-0 pada aksi terakhir di Stadium Ahmed bin Ali sebentar tadi.

Pada aksi tersebut, pengendali Gareth Southgate membuat rombakan dalam kesebelasan utama dengan meletakkan Marcus Rashford dan Phil Foden di jentera serangan untuk digandingkan bersama Harry Kane.

Rashford tidak menunggu lama untuk membalas kepercayaan tetapi rembatan yang dilakukan pada minit ke-10 pada situasi satu lawan satu berjaya diselamatkan penjaga gol, Danny Ward.

Kedua-dua pasukan dilihat saling berusaha untuk melakukan serangan dengan Three Lions lebih banyak menguasai bola pada babak pertama berbanding The Dragons yang dikendalikan oleh Rob Page.

Bersambung pada separuh masa kedua, England tampil lebih garang dan hanya memerlukan lima minit untuk menjaringkan gol menerusi ledakan Rashford hasil daripada sepakan percuma pada minit ke-50.

Gol tersebut menaikkan semangat England dan kini giliran Foden untuk menambah derita pasukan lawan dengan menyudahkan hantaran Kane berselang satu minit kemudian.

Rashford yang juga penyerang Manchester United menamatkan malam cemerlang peribadinya dengan meledak gol kedua selepas menerima hantaran daripada pemain gantian, Kalvin Philipps pada minit ke-68.

England berusaha untuk menambah gol dengan Rashford memiliki peluang meledak jaringan hatrik selain percubaan Jude Bellingham tetapi Ward cemerlang mengawal kubu Wales dengan keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kedudukan tersebut menyaksikan England bakal bertemu naib juara Kumpulan A, Senegal pada aksi pusingan 16 terbaik minggu depan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI