BANGKOK – Seorang lelaki di Thailand mencuri seutas rantai emas bernilai kira-kira 150,000 baht (RM18,999) dari sebuah kedai sebelum melarikan diri dengan berenang merentasi sungai dipenuhi ular ke Myanmar, lapor laman berita Thaiger semalam.
Akhbar Khaosod melaporkan kes kecurian yang berlaku Sabtu lalu di kedai emas Seri Phan, daerah Mae Sai, dalam wilayah Chiang Rai yang terletak hanya 200 meter dari Balai Polis Mae Sai.
Pengurus kedai memaklumkan bahawa seorang pelanggan lelaki meminta memasuki kedai untuk melihat rantai emas seberat 45.6 gram bernilai kira-kira 100,000 baht (RM12,666).
Lelaki itu kemudian berkata bahawa harga rantai itu terlalu mahal sebelum menambah, dia akan meminta pendapat isterinya dan kembali ke kedai sama.
Dia kemudian datang semula dan berkata: “Isteri saya mahukan rantai emas 75.8 gram.”
Rantai itu bernilai kira-kira 148,750 baht (RM18,841), hampir 50,000 baht (RM6,333) lebih mahal daripada yang pertama.
Pengurus kedai kemudian bersetuju dengan jual beli itu dan membiarkan lelaki itu memeriksanya. Akan tetapi, dia kemudiannya segera meragut rantai itu dan bergegas menuju ke arah sebuah motosikal.
Polis memeriksa rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) di kedai, kawasan sekitar dan sepanjang jalan berhampiran sebelum berjaya mengesan motosikal suspek yang diletakkan dekat Sungai Ruak, sempadan Thailand-Myanmar.
CCTV berhampiran sungai itu memaparkan suspek meletakkan motosikalnya dan berenang kira-kira 100 meter merentasi air tercemar dipenuhi ular ke Myanmar.
Polis kemudian menghubungi Pejabat Kerjasama Sempadan Thailand-Myanmar untuk meminta bantuan pihak berkuasa Myanmar bagi mengesan pencuri rantai emas itu. – Agensi