fbpx

Orang Kelantan miliki DNA Melayu sebenar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar penerangan Dr. Zafarina yang menerangkan asal usul bangsa Melayu melalui platform YouTube.

PETALING JAYA – Ujian DNA yang dilakukan ke atas 11 sub-etnik menunjukkan orang Kelantan memiliki gen sebenar orang Melayu.

Pengarah Penyelidikan Biokimia Analisis Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Zafarina Zainuddin berkata, ia diperoleh selepas melakukan kajian berhubung asal usul bangsa Melayu melalui kaedah genetik untuk mengetahui rahsia DNA.

Katanya, kajian tertumpu kepada kupasan tentang rahsia DNA dan asal usul bangsa Melayu.

“DNA mitokondria adalah sangat unik yang hanya diwariskan oleh ibu kepada anak-anak.

“Kajian terhadap 11 sub-etnik Melayu di Semenanjung Malaysia mendapati hanya Melayu Kelantan mempunyai kumpulan DNA mitokondria yang spesifik kepada kaum dan geografi yang sangat unik dan tersendiri,” katanya yang mendapat geran kajian daripada Kementerian Pengajian Tinggi.

Tambahnya, DNA mitokondria orang Kelantan sedikit berbeza selepas proses ‘sampling’ mendapati orang Kelantan senang untuk dapat tiga generasi yang tulen atau tidak bercampur atau kacukan.

Menurut Zafarina, ia mungkin disebabkan ketegasan orang Melayu Kelantan dalam memilih pasangan hidup sekali gus menutup ruang untuk perkahwinan campur.

“Sampel orang Kelantan secara tidak sengaja membuktikan mereka ini adalah ‘pure’ atau asli. Bila dibandingkan, DNA orang Kelantan, orang Jawa dan dan wakil daripada sub-etnik ini nampak lebih tua daripada DNA dekat negara China,” ujar beliau.

Berdasarkan kajian juga, kita dapati genetik Melayu Kelantan mempunyai hubung kait dengan genetik Melayu Jawa. Hal ini mungkin berkait rapat dengan sejarah kerajaan Majapahit pernah menapak di Kelantan ketika zaman dahulu.

Di bahagian kesimpulan, Zafarina menyimpulkan bahawa DNA orang Melayu menunjukkan persamaan yang tinggi dengan Orang Asli Semang iaitu populasi yang paling tua di muka bumi.

“Berdasarkan kajian yang melibatkan pelbagai sub-etnik Melayu dan Orang Asli, orang Melayu ditemui mempunyai DNA mitokondira yang berusia puluhan ribu tahun, sama seperti Orang Asli Semang.

“Sempadan geografi dan politik pada hari ini telah menyebabkan pelbagai sub-etnik Melayu terlihat sebagai populasi yang berbeza. Hakikatnya, perkaitan mereka secara genetik dan hakikat kewujudan orang Melayu di Kepulauan Melayu lebih dari 50,000 tahun dahulu tidak dapat dinafikan,” tegas Zafarina.

Menjengah di ruangan komen, orang ramai meninggalkan pelbagai komen dan reaksi termasuklah berterima kasih kepada Zafarina diatas kajian yang menarik dan terperinci.

“Video penjelasan yang sangat bagus, saya memang suka ikuti pembentangan Dr Zafarina, apatah lagi versi ini santai dan bersifat mesra dan mudah difahami oleh golongan muda,” komen @iskandre.

“Teruskan mengkaji bangsa rahsia bangsa bertauhid dan bangsa difitnah berkurun lamanya. Nusantara bermaksud tanah yang dipecah-pecahkan. Semoga dirungkaikan segala kesimpulan pada kehidupan untuk teruskan berjihad demi agama, bangsa dan tanah air,” komen @pendakianalfitan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI