DOHA – Pemain tengah Brazil, Bruno Guimaraes mengakui bahawa pasukannya bagaikan hilang sesuatu ketika mereka mengharapkan gol pada lewat permainan menerusi Casemiro untuk mencatat kemenangan 1-0 ke atas Switzerland awal pagi semalam.
Juara dunia lima kali itu ketika ini berjaya merakam kemenangan kedua berturut-turut sekali gus membolehkan mereka menempah slot ke pusingan 16 pasukan terbaik biarpun berbaki satu lagi perlawanan peringkat Kumpulan G.
Bagaimanapun, Guimaraes mengakui bahawa kehilangan Neymar menyebabkan mereka hilang sedikit kekuatan terutama dalam membentuk serangan yang lebih berbahaya dan kreativiti pemain itu dalam melakukan gerakan serta umpanan.
“Ia aksi yang sukar dan saya fikir seri 0-0 sebenarnya lebih adil, tetapi apa yang penting kami telah berjaya melakukannya,” kata Guimaraes.
Pemain Newcastle United itu dimasukkan sebagai pemain gantian menggantikan Fred yang diletakkan sebagai kesebelasan utama bagi mengisi kekosongan ditinggalkan oleh Neymar yang berdepan isu kecederaan buku lali
“Neymar adalah pemain yang kami perlukan dalam pasukan ini, dia adalah bintang yang mampu mengubah nasib kami. Saya fikir tidak ada seorang pun yang tidak merindui kelibatnya,” jelasnya,
Dalam pada itu, Casemiro percaya bahawa skuad Brazil yang tiba di Qatar kali ini lebih baik berbanding empat tahun lalu di Rusia apabila mereka tersingkir di peringkat suku akhir.
“Apa yang berlaku empat tahun lalu sudah kami lupakan, kini kami memiliki ramai pemain baharu. Pemain pertahanan kami cukup berpengalaman dan kali ini kami masih berjaya mempertahankan gawang daripada dibolosi,” ujarnya.
– AGENSI