GEORGE TOWN – Zakat Pulau Pinang (ZPP) menerima kira-kira RM2.03 juta zakat perniagaan dan pendapatan daripada enam buah syarikat korporat dan koperasi hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Datuk Amran Hazali berkata, syarikat korporat dan koperasi berkenaan adalah Bank Simpanan Nasional Berhad, JKP Sdn Bhd, Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Berhad, MAA Precious Metals Shd. Bhd., Celcom Axiata Berhad dan Ocean Sucess (M) Sdn. Bhd.
“ZPP akan menunaikan amanah yang diberikan dengan penuh rasa tanggungjawab dan sebagai makluman terdapat enam buah syarikat korporat dan koperasi yang membuat bayaran zakat perniagaan dan pendapatan.
“Jumlah keseluruhan pembayaran zakat perniagaan dan pendapatan hari ini berjumlah RM2.03 juta,” katanya dalam Majlis ‘Hi-Tea’, serahan Zakat Korporat 2022 dan pelancaran direktori rakan niaga ZPP di sini hari ini.
Hadir sama ialah Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Dr. Roslan Ahmad.
Menurut Amran, ZPP turut melancarkan Direktori Rakan Niaga Zakat Pulau Pinang 2022 yang bertujuan untuk mempromosikan syarikat yang membayar zakat perniagaan dan setakat ini kira-kira 200 syarikat telah disenaraikan di dalam direktori itu.
“Ini juga sebagai usaha memberi kemudahan kepada masyarakat setempat untuk menggunakan perkhidmatan syarikat Muslim yang membayar zakat di Pulau Pinang.
“Objektif inisiatif ini adalah untuk mewujudkan satu koleksi sumber informasi produk dan perkhidmatan yang komprehensif pembayar zakat perniagaan (Muzakki) di ZPP dengan mewujudkan satu platform maya yang dibangunkan oleh ZPP,” katanya.
Tambahnya, platform itu juga dapat membantu dalam mewujudkan ekosistem keusahawanan di Pulau Pinang dan negara ini bagi mempromosikan perkhidmatan yang dijalankan oleh pembayar zakat perniagaan di Pulau Pinang.
“Sebagai makluman, antara perniagaan yang terlibat dalam Direktori Rakan Zakat Pulau Pinang adalah Nasi Kandar Deen Maju, AMS Autospec Bertam, Shell Sungai Bakap dan lain-lain lagi.
“Melalui pelancaran direktori ini, masyarakat dapat menyokong syarikat Muslim yang membayar zakat di Pulau Pinang dengan menggunakan perkhidmatan atau produk syarikat tersebut,” tambahnya pengguna juga dapat menggunakan perkhidmatan atau produk tersebut tanpa ragu atau syak wasangka. – KOSMO! ONLINE