fbpx

Pasukan keselamatan dikerah patahkan protes di seluruh negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA polis menghalang Jalan Wulumuqi di Shanghai, 27 November lalu. – AFP

SHANGHAI – Pasukan keselamatan China memenuhi jalan-jalan di Beijing dan Shanghai susulan gesaan secara online supaya orang ramai terus menunjuk perasaan bagi menuntut kebebasan politik serta menamatkan perintah berkurung Covid-19.

Orang awam keluar ke jalan di bandar-bandar utama dan berhimpun di kampus-kampus universiti dalam gelombang tunjuk perasaan di seluruh China yang tidak pernah dilihat sejak demonstrasi prodemokrasi dipatahkan pada tahun 1989.

Kebakaran ngeri di ibu negeri wilayah Xinjiang, Urumqi minggu lalu menjadi katalis kepada kemarahan rakyat, dengan orang ramai menyalahkan perintah berkurung Covid-19 sebagai punca kelewatan usaha menyelamat.

Beijing sebaliknya menyalahkan ‘pihak berniat jahat’ kerana mengaitkan kebakaran itu dengan sekatan Covid-19.

Di sebuah kawasan di Shanghai di mana penunjuk perasaan berkumpul hujung minggu lalu, seorang wartawan agensi berita AFP menyaksikan polis memberkas tiga individu.

Tunjuk perasaan yang dirancang di Beijing kelmarin juga gagal diadakan selepas berpuluh-puluh anggota dan van polis berada di sebuah persimpangan berdekatan tempat berkumpul di daerah Haidian, barat Beijing.

Deretan kenderaan polis dilihat di sepanjang jalan berhampiran Jambatan Sitong di mana seorang penunjuk perasaan memasang kain rentang mengecam Presiden Xi Jinping sebelum dia ditahan.

Kumpulan penunjuk perasaan menyebarkan rancangan secara online untuk  berarak ke jambatan itu selepas kejayaan protes hari sebelumnya dekat Sungai Liangma.

Di Hong Kong di mana protes demokrasi besar-besaran tercetus pada 2019, berpuluh-puluh orang berkumpul di sebuah universiti untuk memperingati mangsa kebakaran di Urumqi, kata pemberita AFP.

“Jangan dilupakan. Kami bukan anasir asing. Kami ialah belia China,” kata mereka.

Orang ramai juga membawa sepanduk dan bunga di Daerah Pusat di Hong Kong. Manakala di Hangzhou yang terletak sekitar 170 kilometer ke barat daya Shanghai, protes sporadik berlaku di pusat bandar itu, demikian menurut rakaman video yang tular di media sosial.

Penunjuk perasaan menggunakan protes itu untuk mendesak kebebasan lebih meluas, malah, sebilangan mereka menuntut Jinping meletak jawatan.

Perhimpunan di Beijing dan Shanghai kelmarin menyaksikan polis bertempur dengan penunjuk perasaan ketika pasukan keselamatan cuba menghalang mereka daripada berkumpul di Jalan Wulumuqi .

Badan Penyiaran Britain (BBC) menyatakan, seorang wartawannya telah ditangkap dan dibelasah polis. 

Sementara itu di Washington, White House menyatakan bahawa Presiden Joe Biden memantau rapi kekacauan yang berlaku.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara, John Kirby enggan mengulas reaksi Biden mengenai tuntutan penunjuk perasaan di China tetapi berkata, Biden menyokong hak mereka.

“Orang awam wajar diberikan hak untuk berhimpun dan membantah secara aman terhadap dasar atau undang-undang yang tidak dipersetujui oleh mereka,” kata Kirby. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI