KUALA LUMPUR – Kerap muncul dalam aneka program siaran TV3, pelakon Izzue Islam menangkis dakwaan sesetengah pihak yang melabelnya sebagai anak emas stesen televisyen berkenaan.
Katanya, sebagai penggiat seni yang mencari rezeki dalam dunia hiburan, dia percaya dengan kesamarataan, sekali gus membolehkannya meraih lebih banyak pengalaman.
“Kalau dikatakan saya anak emas disebabkan kerap muncul di sesebuah stesen televisyen saja rasanya tidak benar kerana saya pun ada terbabit dalam program saluran lain.
“Siapa saya mahu memilih-milih sebab saya cari makan. Mungkin penonton nampak kelibat saya kerap di TV3 hingga mereka memberi tanggapan sedemikian. Hakikatnya itu sekadar sangkaan,” katanya.
Oleh itu jelas Izzue, 32, dia harus bijak menyeimbangkan pembabitannya di semua stesen televisyen, bahkan pengurusannya juga enggan melebihkan mana-mana pihak.
“Risau nanti timbul isu anak emas atau pilih kasih dengan stesen tertentu. Kebetulan tahun ini saya ada beberapa program yang sudah saya selesaikan dengan TV3.
“Kebetulan pula tarikh tayangan setiap program agak dekat,” katanya ketika ditemui pada sidang media Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32), baru-baru ini.
Selain menggalas tanggungjawab sebagai hos program I Can See Your Voice Malaysia 5 (ICSYVM5), Izzue yang juga penyanyi turut dipilih mengendalikan Semi Final Muzik-Muzik 37 (SFMM37).
Sementara itu, mengenai FFM32 yang menyaksikan penyertaan 55 buah filem, Izzue dicalonkan sebagai finalis Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi Juang.
Juang berkisar kisah membabitkan petugas barisan hadapan berdepan fasa pandemik yang turut dibintangi Janna Nick, Zul Ariffin dan Sangeeta Krishnasamy.
Kata pemilik nama sebenar Muhammad Izzul Islam Mazlan tahun itu lagi, dia percaya naskhah yang secara keseluruhan meraih 10 pencalonan tersebut mampu mencapai kemenangan besar.
“Sedari awal saya sudah jangka filen yang berlatarkan plot kuat tentang fasa pandemik, selain menggabungkan sentuhan lima pengarah hebat mempunyai kekuatan tersendiri.
“Secara peribadi kali pertama saya menonton naskhah itu, memang meremang bulu roma apabila impak setiap babak, watak dan skrip sangat dahsyat.
“Paparan watak saya dalam Juang pun ada berkaitan dengan kisah benar waktu pandemik iaitu mengenai seorang anggota polis dilanggar ketika bertugas.
“Apabila meraih 10 kategori pencalonan dalam FFM32, sudah pasti saya selaku pelakon filem ini berbangga apatah lagi turut membawa nama Juang dalam Top 5 Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik,” katanya.
Menerusi kategori tersebut, Izzue yang pernah meraih trofi Pelakon Lelaki Harapan di FFM25 bersaing rapat dengan Hasnul Rahmat, Beto Kusyairy, Nas-T dan Zahim.
Malam kemuncak FFM32 bakal berlangsung di Encore, Melaka pada 2 Disember ini. – KOSMO! ONLINE