KUALA TERENGGANU – Dua kontraktor pengutipan sisa pepejal dan sampah telah ditamatkan kontrak oleh kerajaan negeri Terengganu ekoran gagal mencapai piawaian ditetapkan dalam menjaga tahap kebersihan di kawasan zon operasi.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Datuk Dr. Alias Razak berkata, dua kontraktor terbabit yang dilantik di daerah ini berkenaam telah diganti baharu dengan kadar segera.
“Pihak berkuasa tempatan (PBT) telah menubuhkan skuad khas bagi memastikan semua kontraktor dilantik menjalankan tanggungjawab mengutip sampah mengikut jadual ditetapkan.
“Begitupun, lumrah (segelintir) manusia cuai dalam menjalankan amanah. Tindakan menamatkan perkhidmatan kontraktor ini tepat bagi memastikan masalah longgokan sampah tidak berulang,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini hari ini.
Alias (Pas-Bukit Tunggal) berkata demikian ketika menjawab soalan Bazlan Abd Rahman (BN-Batu Rakit) dalam sesi soal jawab lisan.
Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu sebanyak 1,084 lokasi tong sampah telah disediakan di kawasan penempatan di bandar raya ini dan Kuala Nerus.
“Ia merangkumi 583 di Kuala Terengganu dan 501 di Kuala Nerus. Kedua-dua daerah ini diselia Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
“Kerajaan negeri Terengganu juga telah meluluskan peruntukan tambahan untuk menambah bilangan tong sampah dan pembayaran kepada kontraktor dilantik dalam pembentangan Bajet 2023,” katanya. – KOSMO! ONLINE