fbpx

Lagu Aina Abdul dipertikai layak ke AJL37

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEMARAAN lagu Terus Hidup nyanyian Aina Abdul ke pentas AJL37 dipertikai sesetengah netizen kerana isu pembabitan pembikin karya tersebut sebagai juri.

SHAH ALAM – Kelayakan lagu ciptaan penyanyi Aina Abdul berjudul Terus Hidup ke pentas Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) dipersoalkan netizen kerana salah seorang juri Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-37 (SFMM37) terlibat dalam proses pembikinan karya tersebut.

Jenny Chin bertindak selaku penerbit selain terlibat dalam susunan muzik dan juga pemain piano serta keyboard dalam lagu Terus Hidup.

Hal tersebut membuatkan netizen mempertikaikan kelayakan Terus Hidup kerana mungkin terjadi konflik kepentingan dan tidak adil bagi lagu-lagu lain yang bertanding dalam acara berkenaan.

Bagaimanapun, Ketua Juri SFMM37, Datuk Mokhzani Ismail menjelaskan juri yang terlibat dalam pembikinan sesebuah karya bertanding dikecualikan mengadili lagu berkenaan.

“Perkara ini bukan satu isu dan saya sudah maklumkan dari awal sekiranya ada juri terlibat sebagai penggubah dan penerbit agar jangan menjurikan lagu berkenaan.

“Saya mahu kepakaran Jenny Chin kerana dia berpengalaman dan terlibat dengan muzik sejak zaman Allahyarham Sudirman. Saya juga minta produksi tentukan juri yang berbeza berbanding tahun lalu.

“Saya yakin dia boleh mengadili lagu-lagu lain dengan baik dan ikut syarat produksi agar tidak menjurikan lagu Terus Hidup,” ujarnya.

Mengulas tentang perkara tersebut, Aina menganggap pihak produksi lebih mengetahui dan mempunyai cara dalam menjurikan lagunya dengan adil.

“Pihak TV3 tahu siapa Jenny Chin dan sedar dia terlibat dengan lagu saya. Saya tidak rasa itu satu isu sebab pihak produksi tidak sembarangan panggil juri.

“Kalau orang luar nak kata begitu saya tak boleh kata apa-apa tapi saya tidak rasa ada conflict of interest pun,” ujarnya.

Tambah Aina, 29, dia gembira Jenny diberi peluang menjadi juri selepas sekian lama berada dalam industri muzik tanah air.

“Masa Jenny beritahu saya dia dipanggil jadi juri, saya rasa itu yang terbaik untuknya kerana dia sudah berada dalam industri berpuluh tahun.

“Bagi saya dia sebenarnya sudah lama layak untuk menjadi juri AJL,” ujarnya.

Selain Terus Hidup, 11 lagu lain yang bakal berentap di pentas AJL37 pada Februari depan ialah Korban nyanyian Ernie Zakri, Kembali Terang (Marsha Milan), Nang (Iman Troye), Sengsara (Khai Bahar), Irama (Shiha Zikir) dan Mainan (Naim Daniel).

Turut mara, lagu Anugerah Terindah (Aliff Satar & The Locos), Debu (Dayang Nurfaizah & Amir Masdi), Bahagiakan Dia (Shila Amzah & Liza Hanim), Satu Malam Di Temasek (Joe Flizzow & SonaOne) dan Payung Pelangi (Noki & MK K-Clique). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI