PETALING JAYA – Spekulasi hubungan Datuk A. Aida dengan pelakon, Wak Doyok seakan terjawab apabila penerbit sensasi itu memberi bayangan mereka sebagai ‘BFF’ (Best Friend Forever) atau sahabat selamanya.
Menurut pemilik rumah produksi A. Aida Production itu, ciri prihatin, penyayang dan kelakar selain berkerjaya serta bergaya seperti dirinya menjadi kriteria yang mendekatkan mereka sejak beberapa bulan lalu.
“Hakikatnya kami memang sudah kenal bertahun-tahun, cuma beberapa bulan lalu persahabatan ini menjadi semakin rapat sampai boleh dikatakan sudah ke tahap BFF.
“Dia seorang yang sangat ‘caring’ dan penyayang. Kami boleh serasi kerana dia punya ‘sense of humor’ serta sangat mementingkan penampilan diri sama seperti saya.
“Kami tahu ramai tertanya-tanya (sejauh mana hubungan), tapi apa yang boleh saya cakap doakan kami saja. Kalau ada jodoh, adalah,” katanya kepada Kosmo! Online.
Malah ibu tunggal kepada tiga cahaya mata itu turut mendedahkan anak-anaknya juga sentiasa berpesan supaya mencari lelaki berkerjaya sebagai pasangan.
Dalam pada itu, A. Aida mengakui, dia bukan tererburu-buru mahu menamatkan status solo, sebaliknya keinginan mahu ditemani seseorang mula dirasai selepas tiga tahun sendirian.
“Saya pernah pernah serik untuk membuka pintu ke alam perkahwinan semula selepas melalui beberapa kali fasa kehancuran rumah tangga, tetapi rasa fobia itu kini semakin menghilang,” katanya.
Begitupun tegas A. Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, restu keluarga kedua-dua belah pihak antara keutamaan sebelum membawa hubungan mereka ke fasa seterusnya.
Pada masa sama, dia turut maklum dengan kenyataan ibu kepada Wak Doyok sebelum ini yang menyatakan keberatan menerima menantu berstatus janda.
“Memang saya tahu mengenai perkara tersebut. Sebab itu saya cuma mampu katakan biarlah semuanya saya serahkan soal kepada jodoh.
“Sekiranya ibu Wak Doyok memberikan lampu hijau, ada lah jodoh kami. Cuma saya pun masih belum bertemu dengan ibunya buat masa ini,” katanya lagi.
Terdahulu A. Aida pernah mendirikan rumah tangga dengan vokalis kumpulan Spring, Ameng pada 1994, tetapi bercerai pada 2003.
Mereka dikurniakan dua anak perempuan, Wan Az Aleesa, 25, dan Wan Azevanatassha, 20.
Dia seterusnya mendirikan rumah tangga dengan pegawai polis, namun berpisah pada 2013 dengan dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Rahul, 13.
Sebelum itu dia juga pernah berkahwin dengan seorang anggota polis, tetapi butiran mengenai perkahwinan tersebut tidak didedahkan.
Kemudian produser itu bertemu jodoh pula dengan pelakon Ariff Aziz, tetapi ikatan mereka terlerai pada 25 April 2019 iaitu hanya selepas 10 bulan bergelar suami isteri.
Spekulasi keintiman mereka mula diperkatakan apabila Wak Doyok berkongsi gambar ketika sambutan ulang tahun kelahirannya yang turut dihadiri A. Aida sambil menyertakan kapsyen ‘restu’.
Perkongsian yang menunjukkan personaliti fesyen berusia 43 tahun itu merangkul pinggang A. Aida membuatkan ruangan komen Instagramnya dibanjiri ucapan manis netizen yang merestui hubungan mereka. – KOSMO! ONLINE