JASIN – Pemandu lori yang terlibat dalam nahas sehingga menyebabkan seorang kontraktor maut ketika sedang menukar tayar keretanya di Kilometer 179.3 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah selatan) di Jasin semalam direman empat hari bermula hari ini.
Perintah reman sehingga Jumaat itu telah dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Jasin, Tan Chai Wei terhadap lelaki berusia 37 tahun berkenaan.
Perintah tersebut bagi membolehkan siasatan dilakukan oleh pihak polis mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian yang mana sabit kesalahan boleh dipenjara 10 tahun dan denda RM20,000.
Terdahulu, suspek yang memakai pakaian lokap tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 9.15 pagi dengan diiringi anggota polis.
Semalam, Kosmo! melaporkan seorang kontraktor maut manakala anaknya parah selepas dirempuh sebuah lori ketika sedang menukar tayar kereta di Kilometer 179.3 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah selatan) di Jasin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, mangsa, Khaidzir Zainuddin, 59, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian badan.
Anaknya, Muhammad Ashraf, 22, mengalami patah tulang rusuk dan dikejarkan ke Hospital Tangkak, Johor untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Kemalangan berlaku selepas lori dipandu suspek telah melanggar bahagian belakang sebuah trak tunda yang berhenti bagi membantu dua beranak berkenaan menukar tayar pancit di tepi jalan sebelah kiri.
Hentaman itu menyebabkan trak tersebut terlajak ke depan dan melanggar mangsa yang berada di belakang bonet kereta jenis Mercedes Benz.