fbpx

Kerjasama BN PH, tidak abai prinsip UMNO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid

PETALING JAYA – Kerjasama strategik antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi pembentukan kerajaan, tidak sama sekali mengabaikan prinsip UMNO.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini berdasarkan dua perkara iaitu pertama, penolakan sebarang kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah untuk berdepan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan bukannya untuk pasca pilihan raya.

Menurutnya, yang kedua ialah kerjasama ini berlandaskan titah Yang di-Pertuan Agong yang inginkan Kerajaan Perpaduan terbentuk.

“Justeru selepas pilihan raya umum, marilah kita merapatkan barisan. Umpama ‘lidi seikat’ ini perlu bagi menyapu segala kotoran yang telah dilemparkan kepada UMNO dan pembersihan ini penting bagi memastikan laman politik tidak kotor luar dan dalam.

“Kesinambungan politik ini tidak akan menghilangkan identiti UMNO yang tetap tidak berubah objektif penubuhan parti iaitu sebagai wadah perjuangan orang Melayu dan Islam bagi memperkasa kemajuan bangsa. Sesuai dengan perkembangan ia perlu cakna dengan perubahan semasa, dinamik dan dilihat inklusif,” katanya pada hantaran Facebook hari ini.

Beliau berkata, UMNO tetap mempertahankan dasar parti untuk mengamalkan sikap sederhana, ‘centric’ dan progresif dalam menangani perubahan.

“UMNO juga menolak parti politik menggunakan agama untuk berpolitik, sebaliknya UMNO secara bertanggungjawab menggunakan politik untuk memelihara perkara berkaitan kepentingan bangsa, Melayu Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid juga berkata, kerjasama BN PH dalam membentuk kerajaan di Perak dan Pahang adalah berdasarkan prinsip untuk membawa kestabilan kepada kerajaan negeri dan memastikan kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

“Kini adalah masa untuk bekerja dan memastikan segala aspek urusan pembangunan untuk diberikan perhatian sebagai jalan bergerak ke hadapan. Kesan suasana ekonomi dunia yang mencabar, perlu ditangani dengan lebih baik di peringkat tempatan agar tidak memberikan kesan berterusan kepada negeri dan negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI