PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan meneruskan usul undi percaya di Dewan Rakyat pada 19 Disember ini.
Ia bagi membuktikan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas ada pihak mempersoalkannya sebelum ini.
“Kita (Pakatan Harapan) berbincang juga tadi. Saya fikir keabsahan itu daripada segi politik.
“Jadi kita akan teruskan,” kata Anwar kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH hari ini.
Terdahulu, Anwar berkata, beliau pada mesyuarat itu melaporkan kepada Majlis Presiden PH tentang perjalanan kerajaan perpaduan setakat ini.
Menurutnya, beliau turut mendengar pandangan dan cadangan mereka yang harus diberi pertimbangan.
Mengulang tentang pembentukan Kabinet, katanya, semua pihak beri pandangan, tetapi menyerahkan kepadanya untuk membuat keputusan.
“(Pembentukan Kabinet) Segera mungkin. Kerajaan libatkan banyak parti. Sebelum buat keputusan saya mesti dengar semua pandangan.
“Jumlah Kabinet diperkecilkan. Dulu masuk 50, 60, 60 (anggota Kabinet). Tak cukup duta khas ada penasihat khas. Saya tak sanggup buat begitu,” katanya.
Sementara itu, kata beliau, pelantikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai anggota Kabinet dalam perbincangan.
“Pandangan semua kita ambil kira, tetapi kita tahu dari segi undang-undang,” ujarnya – KOSMO! ONLINE