GUA MUSANG – Sepasang suami isteri tidak menyangka demam biasa yang dihidapi anak mereka menjadi parah apabila bukan sahaja pemuda itu terus terlantar, malah terpaksa menggunakan mesin oksigen untuk terus bernafas.
Norizan Mahasan, 54, berkata, dia terlalu hiba apabila melihat keadaan anaknya, Muhammad Asyraf Ismail, 24, seumpama tengkorak hidup apabila beratnya hanya tinggal 30 daripada 55 kilogram (kg) sebelum ini.
Katanya, segalanya bermula apabila anaknya disahkan menghidap penyakit kuman dalam paru-paru dan otak.
“Sebelum sakit, anak saya bekerja di sebuah kilang elektronik di Pulau Pinang. Pada mulanya dia hanya demam biasa dan badannya lemah sebelum dibawa pulang dan dirujuk ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.
“Selepas 10 hari, dia dibawa pulang dan perlu menggunakan alat bantuan oksigen. Luluh hati saya lihat berat badan dia turun mendadak kepada 30 daripada 55 kg,” katanya ketika ditemui di Kampung Lepan Jaya di sini baru-baru ini.
Menurut Norizan, ekoran itu dia perlu menguruskan kehidupan harian anak keenam daripada 10 beradik itu yang terlantar sakit sejak dua bulan lalu.
Tambahnya, Muhammad Asyraf juga tidak boleh makan dan minum dan hanya mengharapkan susu yang diberikan melalui tiub.
“Alat bantuan oksigen itu disewa RM300 sebulan dan dia juga bergantung kepada susu khas dan kami perlu berbelanja RM500 sebulan untuk itu tidak termasuk lampin pakai buang,” katanya.
Ujar Norizan, sejak Muhammad Asyraf sakit, segala perbelanjaan perubatannya dibantu oleh adik-beradik selain wang sumbangan jiran dan penduduk kampung lain yang datang menziarahinya.
Sementara itu, bapa Muhammad Asyraf, Ismail Dris, 61, berkata, dia akan membuat permohonan bantuan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam tempoh terdekat.
“Saya bekerja sebagai pemandu lori dan pendapatan tidak menentu kerana bergantung sepenuhnya kepada permintaan pelanggan,” katanya yang turut menerima sumbangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim baru-baru ini.
Dia berharap ada pihak yang sudi menyumbang untuk alat bantuan oksigen dan keperluan lain.
Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh menghubungi Ismail di talian 019-647 3839 atau melalui nombor akaun Bank Rakyat miliknya, 221086253153.