PETALING JAYA – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan agar mengambil serius dalam menangani isu bekalan makanan disebabkan oleh kawalan kartel.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, kemungkinan bekalan itu disorok dan disimpan selama ini ada, kerana mereka ini adalah ‘gergasi’ dalam industri dan boleh berbuat apa sahaja yang mereka inginkan.
“Bekalan itu memang sudah ada, tetapi kena sorok, simpan atau jual dekat orang lain. Ada satu kes, anak ayam terlampau banyak, jadi mereka bakar sebab takut harga jatuh. Tiada siapa ambil tindakan atas perbuatan zalim ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Jelasnya, Malaysia sudah terlalu lama terpengaruh dengan kartel yang mengawal dan memainkan peranan berterusan membuatkan bekalan makanan seperti telur, ayam dan minyak peket tidak stabil.
“Bekalan makanan pun bukan boleh disimpan dalam masa yang lama, jadi pihak yang ‘menyimpan’ barang-barang tersebut, lepaskan dalam pasaran untuk buat duit,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, masalah sorok bekalan itu mungkin ada tetapi tidak semua.
“Semua pihak harus memainkan peranan penting dan bukannya mencari kesalahan satu pihak sahaja.
“Kita menyeru kerajaan untuk menubuhkan satu pasukan petugas khas untuk menangani dan memantau isu ini,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan, bekalan telur kembali stabil di pasaran namun tetap dijual pada harga mahal.