SUNGAI PETANI – Harga ikan kembung segar di Kuala Muda kembali stabil susulan peningkatan hasil tangkapan ikan rakyat itu sejak kelmarin.
Tinjauan di pasar pagi Tikam Batu di sini mendapati, harga ikan kembung kini dijual sekitar RM7 hingga RM13 sekilogram (kg) berbanding dijual dengan harga RM15 hingga RM18 sekilogram sebelum ini.
Peniaga ikan di pasar Tikam Batu, Mohd. Shamil Zulkifli, 27, berkata, bekalan ikan kembung segar setakat ini diambil daripada nelayan dari Kuala Muda, Pulau Pangkor dan Pantai Remis, Perak.
Katanya, keadaan cuaca yang semakin pulih selain faktor bulan penuh dan air pasang juga menjadi penyumbang kepada peningkatan hasil tangkapan nelayan ketika ini.
“Bekalan ikan kembung gred A diambil dari Pulau Pangkor dan Pantai Remis dan dijual dengan harga RM13 sekilogram.
“Manakala ikan kembung gred B diambil daripada nelayan Kuala Muda dan dijual dengan harga RM10 sekilogram,” jelasnya ketika ditemui.
Katanya, selain ikan kembung, ikan lain yang mengalami penurunan harga ialah ikan jenahak
“Ikan jenahak hari ini (semalam) dijual dengan harga RM31 sekilogram berbanding RM36 sekilogram semalam (kelmarin).
“Ikan bawal emas dan bawal hitam kekal dengan harga RM32 sekilogram,” ujarnya.
Tambahnya, penurunan harga ikan kembung itu mendapat reaksi positif daripada para pelanggan.
“Pembelian untuk kembung kini meningkat sejak semalam (kelmarin) susulan penurunan harga ini.
“Jika sebelum ini, setiap pelanggan beli ikan kembung tidak sampai sekilo tetapi sejak semalam kebanyakan pelanggan membeli purata 1kg hingga 2kg seorang,” katanya.