SAAT kamera membidik pose yang diperagakannya, Kelly Knox, 38, kelihatan tersenyum sambil sesekali membetulkan rambut perangnya itu.
Dikenali sebagai supermodel kudung, Knox yang dilahirkan tanpa lengan kiri itu tidak langsung membiarkan kekurangan tersebut melemahkan semangatnya untuk mengejar cita-cita sebagai model terkenal.
Malah, ibu kepada seorang cahaya mata itu juga menjadi buruan jenama terkenal Eropah seperti Primark selain ditugaskan berjalan di pentas peragaan London Fashion Week pada 2019.
Wanita itu turut diundi sebagai wanita kelainan upaya paling berpengaruh di Britain.
Ujar Knox, biarpun industri fesyen sudah lama meraikan perbezaan termasuk memperkenalkan lebih ramai model ‘plus-size’ dan model pelbagai warna kulit yang mewarnai kempen-kempen fesyen besar, namun model kelainan upaya masih belum diraikan, menyebabkan Knox berdepan prejudis dan tentangan.
Namun, wanita itu tidak patah semangat kerana dia tahu kekuatan dan kehebatan diri sendiri.
“Biarpun saya tahu ada segelintir pihak yang akan menolak kehadiran dan keunikan saya dalam industri ini, namun ia tidak akan sesekali membuatkan saya mengalah.
“Saya mahu orang kelainan upaya untuk merasakan kehebatan mereka dan tidak malu atau bersalah mempunyai tubuh badan yang berbeza daripada orang lain,” ujarnya.
Menerusi projek terbaharu, Knox yang memperagakan koleksi pakaian daripada gedung peruncit fesyen Primark telah menerima beratus-ratus pujian dan juga respons positif daripada orang ramai yang meraikan perbezaan Knox.
Kempen atau iklan yang diadakan menerusi laman Instagram itu memaparkan imej Knox yang memperagakan baju sejuk rona kuning yang dipadankan dengan sehelai skirt coklat motif harimau bintang.
Kempen itu menerima hampir 97,000 jumlah likes dalam tempoh kurang 24 jam.
Pada 2017, Knox menjadi salah seorang daripada model kelainan upaya yang berjalan di pentas peragaan London Fashion Week untuk jenama Britain/Ireland iaitu Teatum Jones.
Bagi Knox, dia adalah cerminan kepada jenama Teatum Jones yang mempertaruhkan rekaan buat wanita yang berani, berkeyakinan dan kreatif.
“Saat saya memakai busana serba putih rekaan Teatum Jones, saya berasa ‘suci’.
“Rekaan, warna, potongan dan juga tekstur pada busana tersebut benar-benar memberikan keyakinan kepada saya,” katanya.
Knox mempunyai kecantikannya yang tersendiri dan sehingga kini sudah pun bergelar model selama 14 tahun.
Pencapaiannya itu telah meletakkan dirinya sebaris dengan supermodel terkenal dunia seperti Kate Moss, Adriana Lima dan Gisele Bundchen.
Dilahirkan di Enfield, England, Knox mengakui zaman kanak-kanaknya adalah sukar memandangkan ibu dan bapanya berpisah ketika dia berusia dua tahun.
Ibunya juga melalui kesukaran membesarkan Knox, lebih-lebih lagi apabila Knox sering dihina akibat kekurangan fizikalnya.
“Pada zaman ini, saya beranggapan bahawa sekiranya saya seorang remaja atau seorang individu yang membesar dengan kekurangan fizikal, saya pasti akan berasa tertekan memandangkan di media sosial, apa yang ditonjolkan adalah ‘kesempurnaan’.
“Namun, selepas berjalan di pentas peragaan, saya berasa diri ini hebat dan kuat. Ini adalah permulaan dan saya mengimpikan untuk menghiasi muka hadapan majalah Vogue dan berkempen bersama jenama besar seperti Gucci,” katanya.