PORT DICKSON – Seorang penjawat awam dari Kelantan sanggup menghabiskan masa dan tenaga dengan menaiki bas bersama keluarga semata-mata untuk datang kali kedua ke Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2022 di sini semalam.
Abdullah Muhammad, 41, dari Pasir Mas datang bersama isteri, Nabilah Abd. Rahim, 39, dan dua anak berusia 17 dan 11 tahun.
“Ini kali kedua saya datang ke MSAM 2022. Sabtu lalu saya ke sini lima beranak bersama isteri dan tiga anak menaiki kapal terbang. Kali ini, anak sulung berusia 20 tahun yang belajar di Universiti Teknologi Mara tidak ikut sama.
“Walaupun jauh, saya sanggup datang untuk belajar dan menambah pelaburan dalam produk terbaharu Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) iaitu Amanah Saham Nasional (ASN) Sukuk yang baru dilancarkan,” katanya di sini semalam.
Menurut Abdullah, dia teruja untuk datang ke MSAM memandangkan tahun ini program dibuat secara fizikal berbanding dua tahun lalu secara maya, ekoran pandemik Covid-19.
“Saya memang menyokong pelaburan saham di ASNB dan menggalakkan rakan membuat pelaburan walaupun secara pinjaman kerana pulangannya dijamin oleh kerajaan.
“Sekadar perkongsian, saya dan isteri sendiri memiliki pelaburan keseluruhan RM800,000 menerusi pelbagai produk ditawarkan ASNB. Walaupun gaji saya kecil, tetapi mampu melabur sebanyak itu dengan membuat pusingan modal,” katanya.
Ujarnya, beliau mengambil masa dua minggu untuk berfikir dan membuat pinjaman koperasi sebanyak RM15,000 sebagai modal permulaan.
“Kalau tidak mampu boleh membuat pinjaman pelaburan ASNB dengan jumlah minimum. Pelaburan ini penting sebagai dana yang mana dividen diperoleh dapat digunakan ketika kecemasan,” katanya.
Dalam pada itu, Abdullah turut berharap rezeki menyebelahinya untuk membawa pulang hadiah utama sebuah kereta elektrik Hyundai Kona Electric Lite yang ditawarkan kepada pengunjung bertuah.
Sempena MSAM 2022, pengunjung berpeluang merebut pelbagai hadiah menarik bernilai lebih RM1 juta untuk dimenangi.
Antara hadiah utama yang disediakan adalah sebuah kereta elektrik Hyundai Kona Electric Lite bernilai lebih RM156,000 dan sebuah kereta elektrik Toyota Corolla Cross Hybrid Electric bernilai hampir RM140,000.
Selain itu, sebuah Perodua Alza 1.5 AV berharga RM75,500; motosikal Yamaha MT-25 berharga RM21,500 dan enam buah motosikal Yamaha 135 LC FI serta pelbagai hadiah menarik termasuk barangan elektrik ditawarkan kepada pengunjung.