KUALA TERENGGANU – Kompleks baharu Pasar Besar Kedai Payang di sini, yang sedang rancak pembinaannya dan hampir siap dijangka mula beroperasi pada Mei tahun depan.
Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif berkata, setakat ini status kerja-kerja pembinaan semula pusat sehenti produk Terengganu itu yang telah bermula sejak empat tahun lalu sudah mencapai tahap 90 peratus.
“Baki 10 peratus lagi ialah kerja kemasan terakhir meliputi penyediaan landskap, aspek pencahayaan, mengecat dan perparitan yang sedang giat dilakukan.
“Insya-Allah pasar besar yang lebih selesa dan moden ini boleh mula dikunjungi pada Mei tahun depan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Rosli berkata, projek pembinaan Pasar Besar Kedai Payang yang menelan belanja RM69.3 juta bakal menempatkan semula 500 peniaga yang kini berada di kompleks sementara yang terletak bersebelahan.
Jelas beliau, wajah baharu pusat sehenti yang menjadi destinasi wajib kunjungan pelancong ke bandar raya tersebut turut dilengkapi pelbagai kemudahan seperti penyaman udara, lif, tandas, eskalator dan bilik persalinan bayi.
“Sebuah menara jam yang pernah menjadi mercu tanda Pasar Besar Kedai Payang pada awal kewujudannya juga dibina semula bagi membangkitkan nostalgia lama.
“Kompleks ini apabila siap sepenuhnya akan mengukuhkan peranan Pasar Besar Kedai Payang sebagai pusat sehenti bagi kegiatan ekonomi, pelancongan dan kebudayaan Terengganu,” ujarnya.
Pasar besar itu yang mula beroperasi pada 31 Ogos 1968 telah dirasmikan oleh Sultan Terengganu ke-16 iaitu Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang ketika itu merupakan Yang di-Pertuan Agong keempat.
Sejak itu, ia menjadi tarikan utama pelancong untuk membeli produk warisan Terengganu seperti batik, songket, makanan tradisional, tembaga dan kraf tangan.
Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang ketika itu diterajui Tan Sri Noh Omar meluluskan pembinaan semula Pasar Besar Kedai Payang yang agak uzur demi keselesaan pengunjung pada tahun 2018.