fbpx

Piala Dunia: Kane terdesak mahu turun hadapi Wales

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KANE berdepan kecederaan kaki sehingga merencatkan persembahannya dan gagal meledak sebarang gol dalam dua aksi setakat ini. – AFP

DOHA – Selepas masih gagal meledak sebarang gol di pentas Piala Dunia, penyerang England, Harry Kane bersedia mengadakan perbincangan bersama Gareth Southgate untuk diturunkan pada aksi terakhir peringkat Kumpulan B menentang Wales awal pagi esok.

Bagaimanapun, peluang Kane untuk diturunkan pada pertembungan dengan Wales agak tipis kerana dia bergelut dengan pres­tasi terutama selepas mengalami kecederaan kaki ketika mencatat kemenangan besar 6-2 ke atas Iran pada Isnin lalu.

Menjelang pertembungan dengan Wales di Stadium Al Bayt, England akan turun dengan misi wajib menang bagi mencerahkan peluang mereka ke pusingan 16 pasukan terbaik selepas mereka sekadar seri 0-0 dengan Amerika Syarikat (AS) pada aksi kedua Kumpulan B.

Ketika ini, Kane mengakui dia tidak ambil pusing dengan cemuhan peminat kerana misi mereka adalah untuk melakukan terbaik di pentas Piala Dunia.

“Saya rasa pasukan sudah terbiasa dengan kritikan. Ketika kami mencatat kemenangan 6-2 ke atas Iran semua memuji bahawa kami bakal memenangi kejohanan ini. Bila pasukan gagal mendapat keputusan positif pelbagai kritikan dilemparkan.

“Bagi saya setiap orang ada pendapat masing-masing dan itu adalah sebahagian daripada bola sepak terutama bersaing di Piala Dunia.

“Situasi ini sama seperti di Euro. Selepas kami seri menentang Scotland, terdapat banyak suara sumbang selepas perlawanan itu. Tetapi, kami tetap fokus pada diri sendiri kerana kami tahu apa yang diperlukan adalah ke final,” kata Kane.

Kane ketika ini dalam misi untuk memburu gelaran penja­ring terbanyak sepanjang zaman England kerana dia hanya dipisahkan dua gol di belakang Roo­ney, selepas memenangi anugerah kasut emas pada Piala Dunia 2018. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI