AL KHOR – Pemain pertahanan Sepanyol, Dani Carvajal menggesa rakan sepasukannya membuat persiapan lebih baik menjelang aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Jepun untuk memastikan mereka mampu mengesahkan tempat ke pusingan 16 pasukan terbaik.
Awal pagi semalam menyaksikan Sepanyol sekadar meraih satu mata selepas terikat 1-1 menentang Sepanyol menyebabkan impian mereka untuk layak lebih awal terpaksa ditangguhkan.
Biarpun satu mata diraih ketika menentang Jepun nanti dianggap sudah cukup untuk membolehkan mereka mara, namun mereka tidak mahu memperjudikan sebarang kemungkinan, sebaliknya turun dengan mentaliti kemenangan.
Sepanyol ketika ini memimpin Kumpulan E dengan empat mata ketika Jepun dan Costa Rica berkongsi tiga mata, manakala Jerman berada di tangga tercorot dengan meraih satu mata.
“Jika kami menang menentang Jepun, kami akan menjadi juara kumpulan dan kami perlu melakukannya.
“Kami perlu turun untuk memenangi perlawanan itu nanti seperti yang biasa kami lakukan dan mara ke pusingan kalah mati,” katanya.
Bagaimanapun, sekiranya Sepanyol sekadar terikat menentang Jepun, manakala Costa Rica melakar kejutan menewaskan Jerman, mereka hanya akan layak sebagai naib juara kumpulan yang pastinya bukanlah suatu yang diinginkan oleh La Roja.
Pada aksi awal pagi semalam, Sepanyol meraih gol pembukaan menerusi Alvaro Morata sebelum Jerman menyamakan kedudukan menerusi Niclas Fullkrug.
– AFP