PEKAN – Pembentukan kerajaan negeri yang perlu turut selari dengan kerajaan pusat menjadi antara tiga pertimbangan utama dalam memutuskan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, selain itu faktor yang diambil kira ialah keupayaan gabungan untuk membawa kestabilan kepada kerajaan negeri dan kesejahteraan rakyat.
Katanya, pada masa sama kombinasi kerajaan negeri haruslah mencerminkan kemajmukan dan kepelbagaian yang menjadi kekuatan negeri Pahang.
“Menerusi rundingan yang diadakan BN Pahang berpendirian bahawa kerjasama antara blok merupakan satu pendekatan baharu yang mesti menjadi pilihan.
“Berdasarkan pertimbangan dan senario yang telah diperhalusi, BN mengambil keputusan membentuk kerajaan negeri bersama PH,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Daerah Pekan di sini hari ini.
Menurut Wan Rosdy, BN Pahang mempertimbangkan tiga perkara dalam rundingan yang diadakan secara bersama mana-mana blok parti sebelum mengambil keputusan membentuk kerajaan negeri.
Katanya, ia sekali gus membuktikan keterbukaan untuk bekerjasama dengan mana-mana blok sama ada PH atau pun Perikatan Nasional (PN) demi kebaikan rakyat.
Dalam pada itu Wan Rosdy turut menegaskan bahawa kerajaan negeri yang dibentuk itu adalah sebuah kerajaan yang mewakili dan akan berkhidmat untuk semua.
Katanya, buat masa ini, fokus utama kerajaan negeri adalah untuk memacu pertumbuhan ekonomi negeri ke arah yang lebih baik dan positif.
“Saya akan memastikan segala sentimen politik dan perbezaan ideologi dikesampingkan dan satu-satunya perkara yang menjadi keutamaan semua pihak pada ketika ini adalah kestabilan dan kemakmuran Pahang.
“Pasukan kerajaan negeri yang baru dibentuk ini akan sebaik mungkin memastikan Belanjawan 2023 yang telah diluluskan di Dewan Negeri Pahang pada penggal yang lalu dapat dilaksanakan dengan cemerlang,” katanya
Sementara itu mengulas mengenai perlantikan Exco negeri Pahang, Wan Rosdy memberitahu, setakat ini perkara terbabit masih dalam perbincangan dan akan cuba untuk menyelesaikannya dalam masa terdekat.
“Saya juga berharap bahawa blok Perikatan Nasional (PN) akan menjadi pembangkang yang sentiasa tegas, objektif dan mampu menjalankan fungsi semak dan imbang yang selayaknya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE