PETALING JAYA – “Pemain bola (sepak) yang tidak menang kekadang (kadangkala) menyalahkan pengadil bagi menutup kelemahan diri untuk meredakan penyokong”.
Demikian nukilan ringkas bekas pemimpin Pas, Datuk Mohd. Khairuddin Aman Razali dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.
Kenyataannya itu namun dipercayai bukan merujuk kepada aksi Piala Dunia, sebaliknya berhubung perkembangan politik semasa.
Terdahulu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang terlebih dahulu menulis tentang kemenangan dan masa kecederaan dalam sukan bola sepak.
Abdul Hadi dalam tulisan yang disiarkan sebuah portal berita mengulas tentang perlawanan bola sepak yang menurut beliau ditetapkan pelbagai peraturan.
Antaranya masa kecederaan akan ditambah apabila benar-benar berlaku kecederaan, kerana ingin menguruskan pihak yang tercedera untuk mendapat rawatan segera atau yang tercedera itu dikeluarkan daripada padang.
“Padahal keputusannya sudah ada kemenangan pada satu pihak, ada mata dan golnya, tiba-tiba pengadilnya menambah masa juga untuk memberikan peluang kepada yang nyata sudah kalah supaya mereka dapat meraih kemenangan juga dengan apa cara sekalipun, yakni masanya dicederakan oleh si pengadil,” kata Abdul Hadi. – KOSMO! ONLINE