SAUDARA PENGARANG,
Isu mengenai gaji atau elaun guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) menjadi sebutan sehingga kini. Ia menjadi tekanan kepada guru-guru yang mendapat gaji kecil untuk berdepan dengan situasi ekonomi dan harga barang yang mencanak naik.
Guru KAFA di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah berkorban sejak sekian lama. Mendidik anak-anak kita dengan ilmu agama walaupun mendapat bayaran tidak setimpal seperti guru-guru lain.
Saya ingin memberikan beberapa pandangan untuk menaikkan gaji mereka. Pertama menubuhkan koperasi yang diuruskan oleh profesional. Kerajaan perlu memberi suntikan modal dan ia mampu memberi pendapatan tambahan kepada guru yang menyertainya.
Wujudkan skim perjawatan tetap guru KAFA yang mempunyai kelayakan akademik seperti diploma atau ijazah di institusi pendidikan kelolaan Jakim ataupun Jabatan Agama Islam Negeri.
Menggunakan bangunan milik kerajaan sedia ada untuk mendidik anak-anak seawal usia empat dan lima tahun dan ia mampu mewujudkan peluang dan ruang untuk penempatan guru KAFA.
Jika ia tidak mampu direalisasikan, kerajaan perlu memberi modal kepada Jakim untuk membangunkan sebuah pusat pendudukan yang lengkap dengan prasarana pengajaran kepada murid sekolah rendah.
Dengan ini, pengalaman dan ilmu guru KAFA tidak disia-siakan dengan hanya mengajar pada kelas petang sahaja, malah ia dapat diperluaskan kepada khidmat bakti kepada pelbagai lapisan masyarakat.
Membantu guru KAFA seolah mengangkat agama Islam ke tempat selayaknya. Seluruh kepakaran dan aset umat Islam perlu dipusatkan dan dijana semaksimum mungkin bagi memastikan perancangan mencapai matlamatnya.
Dr. Zuraimy Ali
Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi Mara Perlis.