fbpx

Piala Dunia: Jerman terus kemarau kemenangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FULLKRUG (kiri) menyelamatkan nasib Jerman apabila meledak gol penyamaan 1-1 menentang Sepanyol di Stadium Al Bayt sebentar tadi. - AFP

AL KHOR – Hasrat Jerman untuk merekodkan kemenangan pertama pada edisi Piala Dunia 2022 masih gagal menjadi kenyataan apabila seri 1-1 dengan Sepanyol di Stadium Al Bayt sebentar tadi.

Begitupun, keputusan itu sekurang-kurangnya melegakan kem Jerman kerana masih berpeluang ke peringkat kalah mati dan mengelak daripada diaibkan seperti edisi 2018 di Rusia.

Bekas juara dunia empat kali itu harus berterima kasih kepada penyerang gantian, Niclas Fullkrug yang meledak gol penyamaan Jerman ketika aksi berbaki tujuh minit lagi sebelum tamat.

Skuad bimbingan Hansi Flick itu sebenarnya bermula baik dalam perlawanan tersebut apabila terlebih dahulu menggegar gawang Sepanyol menerusi tandukan Antonio Rudiger pada minit ke-40.

Bagaimanapun, gol tersebut dibatalkan selepas Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesan Rudiger berada dalam kedudukan ofsaid sewaktu sepakan percuma diambil Joshua Kimmich.

MORATA membuka tirai jaringan buat Sepanyol ketika seri 1-1 dengan Jerman di Stadium Al Bayt sebentar tadi. – AFP

Penguasaan selepas itu dipegang sepenuhnya oleh Sepanyol sehinggalah terhasilnya gol pembukaan menerusi Alvaro Morata yang bijak menyambar hantaran Jordi Alba pada minit ke-62.

Ketua Jurulatih Sepanyol, Luis Enrique pastinya kecewa dengan kegagalan barisan pertahanannya mempertahankan satu gol tersebut selepas diasak bertali arus oleh jentera serangan Jerman.

Penjaga gol Sepanyol, Unai Simon antara pemain yang terpaksa bekerja keras menafikan deretan percubaan Jerman terutamanya daripada Jamal Musiala pada minit ke-73.

Kecemerlangan itu tidak bertahan lama apabila dia gagal menepis keluar rembatan padu Fullkrug yang langsung tidak dikawal oleh mana-mana pemain Sepanyol pada minit ke-83.

Kini, Sepanyol dan Jerman masing-masing terpaksa menanti aksi terakhir Kumpulan E bertemu Jepun serta Costa Rica untuk mengesahkan tiket ke pusingan 16 terbaik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI