AL RAYYAN, Qatar – Pasukan Croatia akhirnya mampu menarik nafas lega selepas bangkit menumbangkan Kanada 4-1 dalam aksi Kumpulan F sekali gus mencerahkan harapan naib juara 2018 tersebut memburu tempat ke pusingan 16 terbaik pada aksi Piala Dunia Qatar 2022.
Pada perlawanan penuh mendebarkan tersebut, Croatia yang turun misi wajib menang berada dalam tekanan selepas Kanada melakukan kejutan dengan membuka jaringan ketika perlawanan hanya berlangsung dalam tempoh 68 saat.
Pemain sayap Bayern Munich, Alphonso Davie berjaya meletakkan Kanada dihadapan selepas bijak menanduk masuk menerusi hantaran lintang Tajon Buchanan sekali gus menjadi penjaring terpantas Piala Dunia Qatar.
Croatia yang mengharungi kempen kali ini dengan status selaku naib juara edisi Piala Dunia 2018 di Rusia tersebut, dilihat mula tertekan sebelum mengatur strategi untuk mencari gol penyamaan.
Usaha Croatia nyata berhasil apabila skuad kendalian Zlatko Dalic itu berjaya memecah kebuntuan menerusi jaringan gol penyamaan menerusi penyerang terbaiknya, Andrej Kramaric pada minit ke-36.
Jaringan Kramaric nyata membangkitkan semangat pemain Croatia, selepas Marko Livaja berjaya melepasi benteng pertahanan Kanada untuk meledak gol pada minit ke-44 untuk memastikan mereka dihadapan pada separuh masa pertama perlawanan.
Bersambung babak kedua perlawanan, permainan agak tegang sepanjang perlawanan dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan untuk mencari gol kemenangan.
Ketenangan Croatia mengawal perlawanan akhirnya berjaya menambah derita Kanada selepas Kramaric berjaya menjaringkan gol peribadi keduanya pada minit ke-70. Pada penghujung perlawanan, giliran Lovro Majer menutup gol keempat Croatia sekali gus pulang dengan kemenangan bergaya.
Hasil kemenangan tersebut, harapan Croatia untuk mara ke pusingan kalah mati tampak cerah selepas menduduki tangga teratas peringkat Kumpulan F dengan empat mata dan mereka akan berdepan Belgium pada perlawanan terakhir Khamis nanti. -KOSMO! ONLINE