PETALING JAYA – Pelakon Ungku Ismail melahirkan rasa kecewa apabila ada segelintir pihak menyifatkan dirinya seolah-olah gelojoh bercerita tentang hubungan cintanya dengan Nad Zainal pada saat wanita itu sedang bertarung nyawa di unit rawatan rapi (ICU) sebuah pusat perubatan swasta.
Ungku atau nama sebenarnya, Ungku Ismail Ungku Abdul Aziz berkata, niatnya cuma satu iaitu untuk menyalurkan informasi tentang keadaan kesihatan terkini Nad, 32, namun lain yang terjadi disebabkan ketidaktanggungjawaban beberapa pihak.
“Kecewa. Bila saya sentiasa ikhlas menyampaikan kemaskini tentang keadaan Nad Zainal, ada pihak cuba rephrase (susun semula) cakap saya seolah saya ini ‘batak’ dan gelojoh tentang perhubungan serta kerja.
“Seolah-olah saya mengambil kesempatan daripada keadaan ini (Nad) untuk promosi diri dan kerja saya sehingga ada kenyataan menyentak perasaan, menukil persoalan tentang akal dan kematangan saya,” kata Ungku menerusi satu entri dalam Instastory.
Ujar pelakon drama rantaian Teman Lelaki Upahan itu lagi, ada perkataan-perkataan yang dirinya tak sebut pun diberitakan dalam laporan atau artikel.
“Dijoloknya dengan hal peribadi yang tidak tepat dan ajakan itu menjadi ‘minor’ dan tidak relevan.
“Ini sudah bukan apa yang saya mahu dari pihak media untuk sebarkan berita tentang keadaan Nad. Nyawa dan kesihatan dia yang utama, keduanya emosi dan perasaan ahli keluarga, kawan-kawan dan beberapa pihak lain,” katanya lagi.
Getus anak seni kelahiran Johor Bahru, Johor itu, dia tidak akan lagi memberi apa-apa kenyataan berkenaan keadaan Nad untuk mengelak kejadian sama berulang.
“Ini bukan masanya untuk menjaja apa-apa cerita tentang hubungan dan kerjaya. Ini waktu untuk memberitahu kemaskini tentang kesihatan Nad. Saya yakin itu yang orang nak tahu, bukannya benda merepek dan sensitif tanpa menghormati keperibadian masing-masing.
“Saya sangat menghargai kedatangan media untuk menemuramah, yang prihatin dengan keadaannya. Ada gurau senda saya boleh terima bergurau sekali tapi pasti ada hadnya.
“Mulai hari ini, saya tidak akan memberi apa-apa kenyataan ‘update’ lagi tentang keadaan Nad dan apa sahaja, sila rujuk pada sumber yang lain,” luahnya.
Sehingga kini, Nad atau nama sebenarnya, Farah Nadia Zainal Abidin masih lagi ditidurkan bagi membolehkan dirinya berehat dan paru-parunya kembali kuat. – KOSMO! ONLINE