LANGKAH kumpulan Insomniacks dilihat semakin agresif pada tahun ini sehingga berjaya melangkah ke Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-37 (SFMM37) menerusi lagu Sempurna.
Selain pencapaian tersebut, kumpulan yang kini dianggotai tiga ahli itu turut meluncurkan sebuah single baharu yang dilancarkan pada 4 November lalu.
Pun begitu, sambutan untuk lagu tersebut agak hambar daripada peminat kerana ketika itu, negara sedang sibuk dengan isu politik semasa.
Akui pemain bass kumpulan itu iaitu Iskandar, single baharu Igauan Malam agak ‘tenggelam’ gara-gara dilancarkan sehari sebelum penamaan calon bagi Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15).
Bahkan, pelancaran video muzik juga kurang meraih perhatian peminat apabila sekadar mencatat jumlah 105,000 tontonan (hingga Sabtu) dalam YouTube kerana dilancarkan sebelum hari pengundian berlangsung iaitu pada 18 November.
“Kami akui PRU15 beri kesan terhadap pelancaran Igauan Malam. Kalau ditangguhkan, akan jadi lebih lama tetapi kami kesuntukan masa jika pelancaran diawalkan.
“Video muzik pula dikeluarkan sehari sebelum PRU15 diadakan, waktu itu semua orang sibuk pasal mengundi.
“Walaupun begitu, algoritma internet sekarang tidak mengikut waktu. Kadang-kadang video lama akan muncul kembali,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu tersebut baru-baru ini.
Cetusan idea
Sementara itu, kumpulan yang mengidolakan artis antarabangsa 5 Seconds Of Summer dan Paramore itu menceritakan detik awal cetusan idea pembikinan lagu Igauan Malam.
“Idea penghasilan single ini terjadi ketika proses rakaman lagu Langgar pada 2020 tergendala akibat cuaca hujan. Pada awalnya menulis main-main sahaja lalu kami dapat idea untuk menghasilkan karya ini.
“Semasa pandemik Covid-19, kami adakan strim secara langsung bersama peminat. Mereka turut menjadi penyumbang idea dalam penghasilan lagu ini ketika sesi tersebut,” katanya Iskandar lagi.
Sementara itu, vokalis kumpulan, Iqie atau nama sebenarnya Syed Mir Iqbal mengaitkan lagu tersebut dengan masalah kesihatan mental yang sering dialami oleh anak muda sekarang.
“Perasaan kemurungan merupakan perkara normal buat semua orang dalam generasi kini,” ujarnya ringkas.
Jelajah, album mini
Dalam pada itu, Insomniacks bersedia untuk meningkatkan kualiti persembahan dengan merancakkan lagi pelbagai aktiviti pada tahun 2023.
“Perancangan untuk tahun depan adalah memperbanyakkan lagi kolaborasi dengan artis lain.
“Kini, kami dalam proses merakam sebuah lagu bersama Nabila Razali. Pada awalnya, Nabila minta kami untuk menulis lagu buatnya. Tetapi setelah berbincang kami bersepakat untuk membawakan lagu bersama-sama,” tutur Iqie.
Bukan itu sahaja, kumpulan yang itu juga merancang persembahan jelajah ke beberapa buah negeri.
Pada masa sama, Insomniacks juga dalam perancangan mengeluarkan album mini khas buat peminat.
A“Album mini tersebut mengandungi enam buah lagu keseluruhannya dan dijangka dapat dikeluarkan pada awal tahun hadapan,” tutup Iskandar.