PETALING JAYA – MDC Asia Link Berhad (MALB) mengunjurkan untuk membuka sehingga 20 pusat berpantang yang dikenali sebagai The Sanctuary Pusrawi di sekitar Lembah Klang secara berperingkat mulai tahun ini.
Syarikat akan menjadikan cawangan sulungnya di Hospital Pusrawi, Kota Damansara dekat sini sebagai projek perintis untuk menyediakan perkhidmatan berpantang berkonsepkan lima bintang tetapi berlandaskan kepada patuh syariah.
Pusat berpantang bertaraf premium tetapi ditawarkan pada harga pakej serendah RM4,999 untuk lapan hari tujuh malam itu akan memastikan tahap penjagaan secara holistik kepada pelanggan khususnya ibu-ibu yang baru bersalin daripada segi fizikal, emosi dan spiritual.
Selain itu, ia juga dapat memberi ruang dan peluang untuk mereka menikmati masa berkualiti selepas melalui tempoh sukar sepanjang mengandung, rasa sakit bersalin serta kini dalam tempoh berpantang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Aslan Bacho berkata, MALB yang telah melabur kira-kira RM1.5 juta untuk cawangan tersebut menjangkakan bakal menerima tempahan antara 80 hingga 90 pelanggan sebulan untuk berpantang di pusat eksklusif tersebut.
“The Sanctuary Pusrawi memberi kelainan kepada para ibu mendapatkan penjagaan rapi sebaik sahaja bersalin daripada kakitangan, doktor termasuk pakar sakit puan dan kanak-kanak bagi membolehkan tahap kesihatan mereka dipantau dan mencapai ketenangan diri melalui segala kemudahan lengkap disediakan di situ.
“Bayi juga ditempatkan di pusat jagaan khusus termasuklah ketika bayi tersebut dijangkiti penyakit kuning oleh pakar dan jururawat yang terlatih tanpa sebarang kos tambahan dikenakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis perasmian The Sanctuary Pusrawi dan Pusat Fisioterapi atau The Physio Pusrawi baru-baru ini.
Aslan menjelaskan, bagi meringankan beban bakal ibu dan bapa yang mahu mendaftar di hospital tersebut, syarikat turut menyediakan pembayaran ansuran.
Dalam pada itu, ibu yang telah mendaftar untuk pakej bersalin dan berpantang di hospital berkenaan tetapi telah mengalami keguguran akan mendapat rawatan percuma selama tiga hari di situ. -KOSMO! ONLINE