DOHA – Pengendali Perancis, Didier Deschamps mengakui bahawa beliau tidak pernah bimbang mengenai ‘sumpahan’ penyandang juara yang sering tersingkir awal di pentas Piala Dunia selepas pasukan itu mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 pasukan terbaik.
Bekas juara edisi empat tahun lalu di Russia itu mengekalkan rentak kemenangan selepas menundukkan Australia 4-1 pada aksi pertama sebelum meraih kemenangan kedua menewaskan Denmark 2-1 awal pagi semalam.
Ayam tambatan mereka, Kylian Mbappe menjadi wira Les Bleus apabila meledak kedua-dua gol berkenaan termasuk gol kemenangan kira-kira empat minit sebelum masa sebenar perlawanan tamat.
Keputusan itu menyaksikan Perancis berjaya meraih enam mata hasil dua perlawanan dan semakin hampir untuk muncul juara Kumpulan D menjelang aksi terakhir menentang Tunisia yang mungkin tidak memberikan masalah besar buat mereka.
Sejak tiga edisi Piala Dunia yang lalu menyaksikan penyandang juara gagal meneruskan kemaraan apabila tersingkir di peringkat kumpulan seperti yang pernah berlaku kepada Itali (2010), Sepanyol (2014) dan Jerman (2018).
“Saya akan mengucapkan terima kasih kepada mereka yang bercakap mengenainya (sumpahan) kepada saya sebelum ini.
“Saya tidak pernah risau mengenainya, kami tidak pernah berasa selesa dan tenang dalam pasukan ini. Berdasarkan statistik pasukan ini, saya percaya bahawa ‘sumpahan’ tersebut tidak benar kerana kami sentiasa berusaha memberikan aksi terbaik.
“Kami tidak mahu menjadikan perkara ini sesuatu yang benar dalam kalangan peminat. Apa yang telah kami lakukan setakat ini cukup baik.
“Para pemain kami sentiasa berjuang dan kekuatan yang kami pamerkan secara kolektif sangat luar biasa, anda boleh saksikannya di padang. Kami sentiasa perlukannya untuk aksi berikutnya selepas ini,” jelasnya. – AGENSI