fbpx

Piala Dunia: Argentina kembali ‘bernyawa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MESSI meraikan jaringannya selepas meledak gol pertama Argentina dalam kemenangan 2-0 ke atas Mexico. - AFP

LUSAIL – Argentina kembali menghidupkan peluang untuk mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2022 selepas menewaskan Mexico 2-0 pada aksi kedua Kumpulan C sebentar tadi.

Kemenangan berharga di Stadium Lusail itu menyaksikan La Albiceleste melonjak ke tangga kedua dengan tiga mata selepas membuka kempen dengan kekalahan mengejut 1-2 kepada Arab Saudi sebelum ini.

Ia sekali gus memberikan semula harapan kepada juara Copa America 2021 itu untuk menamatkan penantian 36 tahun sejak kali terakhir merangkul trofi Piala Dunia pada edisi 1986 di Mexico.

PARA pemain Argentina meraikan kejayaan mereka menewaskan Mexico 2-0 di Stadium Lusail sebentar tadi. – AFP

Argentina seharusnya berterima kasih kepada bintang sensasi Paris Saint-Germain, Lionel Messi yang terus menjadi penyelamat buat pasukan ranking ketiga dunia itu pada edisi kali ini.

Apa tidaknya, skuad bimbingan Lionel Scaloni itu berdepan kesukaran untuk merobohkan tembok kebal Mexico sehinggalah Messi mencipta keajaiban dengan gol pertama pada minit ke-64.

Penyerang prolifik berusia 35 tahun itu melakukan rembatan rendah dari luar kotak penalti untuk menewaskan tiga pemain pertahanan Mexico dan penjaga gol, Guillermo Ochoa.

FERNANDEZ (kiri) memastikan kemenangan 2-0 ke atas Mexico selepas meledak gol kedua Argentina. – AFP

Mexico akhirnya terpaksa menelan hakikat perit apabila Argentina meraih gol kedua menerusi rembatan lencong menarik daripada Enzo Fernandez pada minit ke-87.

Bagaimanapun, Argentina tidak boleh terlalu selesa kerana wajib mencatat kemenangan ke atas Poland dalam aksi terakhir Kumpulan C pada 1 Disember ini untuk menjamin slot ke pusingan seterusnya.

Ini kerana pemenang antara Arab Saudi dan Mexico dalam satu lagi aksi terakhir berpeluang merampas slot tersebut sekiranya Argentina tewas kepada Poland. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI